MELAKA, 20 Mei (Bernama) -- Peranan Bernama amat besar dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata di samping itu, Bernama menjadi medium penting yang menjunjung integriti, ketelusan dan etika kewartawanan dalam dunia penyampaian maklumat yang semakin pantas dan mencabar.
“Hampir enam dekad Bernama berdiri sebagai institusi media yang berwibawa dalam menyampaikan maklumat tepat, mencetus inspirasi serta menjadi nadi penyebaran berita sahih kepada rakyat dan negara.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Bernama atas komitmen dan dedikasi, dalam memastikan rakyat terus menerima informasi yang tepat, berfakta dan diyakini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau turut berharap agar Bernama akan terus unggul sebagai agensi berita nasional yang dipercayai, progresif dan sentiasa relevan dalam mendepani perubahan landskap media masa kini, dalam era ledakan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Semoga Bernama terus cemerlang, maju dan menjadi ‘suara informasi’ yang dihormati pada peringkat antarabangsa.
“Setinggi-tinggi tahniah dan selamat menyambut ulang tahun ke-59 kepada Bernama yang diraikan hari ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada warga Bernama atas jasa dan komitmen dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat serta negara.
Beliau berkata sejak penubuhannya pada 1967, Bernama telah memainkan peranan penting sebagai agensi berita utama negara dalam menyampaikan informasi yang tepat, sahih dan berintegriti kepada rakyat Malaysia.
“Selamat menyambut ulang tahun ke-59 buat Bernama. Terima kasih atas jasa dan komitmen seluruh warga Bernama dalam dunia kewartawanan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat dan negara.
“Semoga Bernama terus maju, kekal relevan serta menjadi medium penyampaian berita yang dipercayai dalam memperkukuh perpaduan, menyebarkan maklumat bermanfaat dan mendukung pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial