WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tabung Kasih@HAWANA Bantu Seorang Pengamal Media Di Labuan Peroleh Tapak Kaki Palsu

20/05/2026 03:08 PM

LABUAN, 20 Mei (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA meneruskan peranan proaktif dalam menjaga kebajikan golongan pengamal media memerlukan, kali ini dengan membantu wartawan Asia Times di sini, Kong Jeng Li, untuk memperoleh tapak kaki palsu baharu.

Kong, 38, yang menggunakan tapak kaki palsu sejak berusia lapan tahun telah menyimpan wang bagi mendapatkan kaki palsu baharu yang dilengkapi dengan tapak kaki fleksibel bernilai lebih RM15,000.

Tapak kaki palsu digunakannya ketika ini dihasilkan daripada bahan berasaskan kayu, yang tidak kalis air dan mudah rosak dalam keadaan basah.

Sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA itu diharap dapat meringankan beban kewangan Kong dalam mendapatkan tapak kaki palsu yang lebih tahan lasak dan selesa untuk pergerakan seharian khususnya melaksanakan tuntutan kerja dalam industri media.

“Saya amat berterima kasih kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tabung Kasih@HAWANA atas sumbangan ini. 

“Dengan tapak kaki palsu baharu, saya harap dapat bergerak lebih selesa dan terus menjalankan tugas sebagai seorang wartawan,” katanya.

Kong adalah antara penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, iaitu satu inisiatif digerakkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama bertindak sebagai agensi pelaksana membantu pengamal media memerlukan.

Sumbangan itu turut mencerminkan komitmen berterusan Tabung Kasih@HAWANA dalam memastikan pengamal media, sama ada yang masih aktif atau telah bersara terus mendapat sokongan ketika berdepan cabaran kesihatan atau kewangan.

Sumbangan kepada Kong disampaikan oleh Eksekutif Editorial Bernama Biro Labuan Jailani Hasan, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang, Jun ini.

Sejak dilancarkan pada HAWANA 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 758 pengamal media di seluruh negara, sekali gus menjadi platform kebajikan penting bagi warga media dengan menyediakan bantuan kepada mereka yang berdepan penyakit, kecacatan, kehilangan pendapatan atau kesulitan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan