WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Sabah Tumpas Sindiket Kad Pengenalan Palsu, Tahan Sembilan Individu

20/05/2026 04:08 PM

KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan sindiket pengurusan permohonan kad pengenalan palsu di negeri ini hasil penahanan sembilan individu dalam Ops Pugo yang dilaksanakan selama enam hari sejak 7 Mei lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kesemua mereka termasuk empat wanita, terdiri daripada lima warga Filipina dan empat warga Indonesia berusia lingkungan 36 hingga 61 tahun.

“Hasil operasi, polis merampas pelbagai dokumen dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan membabitkan permohonan MyKad antaranya 85 keping pelbagai dokumen permohonan MyKad, 54 keping salinan kad pengenalan dan 45 keping salinan dokumen pemohon MyKad. 

Turut dirampas, 24 gambar pemohon serta 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan, salinan sijil lahir (sembilan), sijil lahir asal (enam), salinan pasport pelbagai nama (tujuh), telefon bimbit pelbagai jenama (tujuh), kad pengenalan palsu (lima) serta tiga cap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi itu, katanya dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 30 tahun pada 13 Mac lepas yang mendakwa kerugian RM20,000 selepas semakan mendapati tiada sebarang rekod permohonan kad pengenalan atas namanya diterima di JPN.

Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan