WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Resorts World Genting, Denza Sime Motors Kerjasama Guna EV Dalam Operasi Di Tanah Tinggi

20/05/2026 06:10 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

GENTING HIGHLANDS, 20 Mei (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) bekerjasama dengan Denza Sime Motors untuk memperkenalkan unit kenderaan elektrik (EV) ke dalam operasi Genting Highlands sebagai sebahagian daripada inisiatif kemampanannya. 

Denza Sime Motors ialah pengedar sah Denza di Malaysia di bawah Sime Darby Beyond Auto (SDBA), iaitu anak syarikat Sime Darby Motors.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee berkata langkah itu menekankan kepentingan menerima pakai pengangkutan alternatif yang lebih bersih di dalam pusat peranginan bersepadu tersebut. 

“Kerjasama ini juga merangkumi sokongan pengaktifan pemasaran, dan bermula dengan pengenalan tiga unit ulang-alik Denza D9 EV dan ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kemampanan RWG,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan itu di sini hari ini. 

Lee berkata pelaburan itu melibatkan inisiatif EV, termasuk sokongan infrastruktur, seperti stesen pengecasan, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya memandangkan projek itu masih dalam proses pelaksanaan. 

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RWG ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong penyelesaian mobiliti lebih hijau sejajar dengan visi kemampanannya yang lebih meluas,” katanya. 

Langkah itu juga bertujuan mempromosikan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti Genting Nature Adventures dan Eufloria Gardens and Sculpture Park, yang digambarkan sebagai produk ekopelancongan rumah hijau terbesar di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Peruncitan Denza Sime Motors Bea Kwang Tat berkata syarikat itu berbesar hati kerana RWG telah memilih Denza D9 untuk perkhidmatan ulang-aliknya. 

“Kami percaya semua kenderaan ini akan meningkatkan keseluruhan pengalaman tetamu selaras dengan kedudukan pusat peranginan ini.

“Penyerahan ini menandakan permulaan perjalanan yang lebih panjang, ketika kami terus mengembangkan kehadiran kami di Malaysia dan menyediakan produk serta perkhidmatan cemerlang yang boleh dipercayai oleh pelanggan kami,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan