KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- MTD Philippines Inc yang juga sebahagian AFK Group dari Malaysia, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan wilayah Cebu, Filipina, membabitkan cadangan pembangunan bersepadu di Naga City, Cebu.
Dalam kenyataan hari ini, AFA Group yang juga cabang infrastruktur AFK Group, memaklumkan cadangan hab bersepadu di hartanah “Balili” di bandar itu akan merangkumi pusat satelit wilayah kerajaan, hab sukan dan ekonomi termasuk stadium berkapasiti 20,000 tempat duduk serta pusat akuatik dan pusat keterjaminan makanan.
Ini turut dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan seperti terminal feri dan terminal kenderaan utiliti awam serta infrastruktur tenaga boleh baharu.
“Inisiatif itu diwujudkan bagi tujuan agihan perkhidmatan kerajaan, mengukuhkan keterjaminan makanan dan menjadikan Naga City sebagai gerbang utama aktiviti ekonomi di koridor selatan Cebu,” menurut kumpulan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFK Group Tan Sri Azmil Khalid berkata MoU berkenaan menandakan permulaan aspirasi bersama bagi meninjau aspek kepimpinan awam, kepakaran sektor swasta dan kerjasama serantau dapat digabungkan untuk mewujudkan pembangunan sedia masa depan dan mampan untuk penduduk Cebu.
“Pembangunan prasarana yang bermakna perlu diukur bukan hanya dari segi skala fizikal semata-mata, tetapi kualiti kehidupan yang dihasilkan, peluang serta daya tahan untuk komuniti serta generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Gabenor Cebu Pamela Baricuatro berkata wilayah itu memerlukan lebih daripada perkhidmatan kerajaan yang mudah diakses, peluang ekonomi lebih kukuh, ruang lebih besar untuk memperkasa golongan belia menerusi sukan serta penyelesaian mampan untuk keterjaminan makanan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MTD Philippines Inc Patrick Nicholas David berkata MoU itu menjadi permulaan proses yang berstruktur dan telus, termasuk penilaian teknikal bersama, perancangan pelan induk serta kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh.
MoU itu juga, katanya, memewujudkan rangka kerja secara formal bagi kajian kebolehlaksanaan, pelan induk dan kerjasama strategik dengan semua pihak komited untuk meneruskan usaha mengikut undang-undang dan peraturan berkaitan serta berpandukan prinsip ketelusan, tadbir urus baik dan saling menghormati.
Majlis pemeteraian dokumen itu telah disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino dan kehadiran beliau turut menyerlahkan kepentingan inisiatif itu sebagai hasil daripada hubungan dua hala berterusan antara Malaysia dan Filipina.
Menurut AFA Group, di sebalik pelan induk itu dan kerjasama berkaitan, inisiatif berkenaan memaparkan cita-cita lebih meluas yang membuktikan bagaimana kerjasama rentas sempadan dapat diterjemahkan kepada infrastruktur yang memberi manfaat kepada komuniti, membuka peluang dan mampu bertahan untuk tempoh yang lama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial