KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mengulangi komitmennya untuk memacu peralihan tenaga yang adil dan bertanggungjawab, pada masa sama terus memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham, negara, dan rakyat.
Ketika Malaysia mempercepatkan usaha di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), TNB menyatakan bahawa ia terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi negara ke arah masa depan tenaga yang mampan, inklusif, dan rendah karbon.
Percepat Peralihan Tenaga Malaysia
Sepanjang 2025, TNB telah melipatgandakan usahanya dalam penyepaduan tenaga boleh baharu, pendigitalan grid dan pengurusan karbon bagi memperkukuh keselamatan tenaga nasional serta membolehkan pertumbuhan ekonomi.
"Sebagai penyedia utiliti terkemuka negara, TNB memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan peralihan tenaga Malaysia yang seimbang, bertanggungjawab, dan inklusif.
"Fokus kami kekal untuk memastikan keselamatan tenaga, mempercepat usaha peralihan tenaga, dan memperkukuh daya tahan grid kami, sambil terus mencipta nilai mampan untuk para pemegang saham serta rakyat," kata Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB yang ke-36 hari ini.
Sepanjang tahun tersebut, TNB telah memajukan beberapa inisiatif yang selaras dengan NETR termasuk pembangunan solar berskala utiliti, penyelesaian boleh baharu hibrid dan teknologi rendah karbon.
Antara pencapaian utama termasuklah pemeteraian perjanjian Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) berkapasiti 785 megawatt puncak (MWp) bagi menyokong operasi pusat data dengan bekalan tenaga hijau.
Kumpulan itu juga mencatatkan kemajuan dalam pembangunan solar terapung hidro di Kenyir, Terengganu, bersama-sama inisiatif hidrogen hijau di Stesen Janakuasa Jimah East di Negeri Sembilan, usaha itu memperkukuh lagi kedudukan TNB dalam rantaian nilai rendah karbon yang sedang berkembang, sekali gus menyokong agenda penyahkarbonan Malaysia yang lebih luas.
Pelaburan ke Arah Grid Bersedia Masa Hadapan
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, TNB telah melabur sebanyak RM15.7 billion dalam perbelanjaan modal pada 2025, melonjak daripada RM11.2 billion pada 2024.
Daripada jumlah pelaburan tersebut, RM12 bilion telah diperuntukkan bagi inisiatif pemodenan grid yang bertujuan mengekalkan kestabilan bekalan, menyokong penyepaduan tenaga boleh baharu dan memenuhi permintaan elektrik yang kian meningkat.
"Pelaburan grid kami menjadi semakin penting memandangkan Malaysia sedang mengalami peningkatan permintaan elektrik didorong oleh elektrifikasi industri, pendigitalan, mobiliti elektrik serta pertumbuhan pusat data," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad.
Pelaburan ini menyumbang secara langsung ke arah meningkatkan pengalaman pelanggan, minit sistem (system minutes) mencatatkan 0.15 minit, jauh lebih baik berbanding tanda aras global iaitu kurang daripada 1.5 minit, sementara itu, Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 46.93 minit berbanding 47.88 minit pada 2024.
Dalam industri utiliti elektrik seperti TNB, minit sistem adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan untuk mengukur tahap keandalan dan kestabilan grid penghantaran elektrik voltan tinggi (Transmission Grid).
Minit sistem mengira jumlah tenaga elektrik yang terputus akibat gangguan besar pada grid utama, kemudian gangguan itu dibahagikan dengan jumlah permintaan tenaga puncak (peak demand) bagi seluruh negara, bagaimanapun ia bukan bermaksud grid elektrik terputus selama 0.15 minit secara fizikal tetapi ia adalah pengiraan nisbah kehilangan tenaga berbanding keseluruhan sistem.
Fokus TNB terhadap kecemerlangan perkhidmatan dicerminkan melalui Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI), kumpulan itu mencapai skor rekod tertinggi sebanyak 90 peratus pada 2025.
Pulangan Kepada Pemegang Saham Dan Rakyat
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025, TNB mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.8 bilion.
Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan permintaan elektrik yang berterusan, kecekapan operasi dan kerangka kawal selia yang stabil.
Prestasi kukuh ini membolehkan TNB mengumumkan dividen keseluruhan sebanyak 53 sen sesaham bagi 2025 yang mana ia adalah kadar tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Jumlah keseluruhan pembayaran dividen ialah RM3.1 bilion, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Manfaat dividen ini sebenarnya kembali kepada rakyat kerana lebih 60 peratus saham TNB dimiliki oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.
“Agihan ini akhirnya memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan simpanan negara, jaminan persaraan dan kesejahteraan kewangan rakyat secara menyeluruh,” kata Abdul Razak.
Keuntungan Yang Turut Dinikmati Rakyat
Komitmen TNB dalam membangunkan negara bukan semata-mata dalam bentuk pulangan kewangan.
Syarikat itu menyalurkan pelaburan jangka panjang dalam manfaat yang bermakna untuk rakyat termasuk melalui program pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan yang bersasar.
Sepanjang 2025, TNB terus aktif membantu masyarakat menerusi pelbagai program pendidikan, pembangunan komuniti, sukan, kebajikan dan penjagaan alam sekitar dengan jumlah sumbangan melebihi RM232.3 juta.
Selain itu, sebanyak RM11.9 juta zakat wakalah turut diagihkan kepada lebih 36,000 golongan asnaf di seluruh negara.
Membina Masa Depan Malaysia Yang Lebih Cerah
Bagi tempoh akan datang, TNB terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem grid negara, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan hubungan tenaga serantau serta menyokong pertumbuhan industri baharu termasuk ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Sebagai syarikat utiliti utama negara, TNB akan terus komited menyediakan bekalan tenaga yang stabil dan menyumbang secara bermakna ke arah membina masa depan lebih cerah bagi Malaysia.
“TNB akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi menjayakan aspirasi peralihan tenaga negara, sambil memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan,” kata Abdul Razak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial