WILAYAH - TENGAH > BERITA

PM Anwar Seru Majoriti Cintakan Kedamaian Tolak Naratif Kebencian

23/05/2026 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan majoriti yang cintakan kedamaian agar bangkit bersuara menolak naratif kebencian dan fitnah yang cuba dimainkan kelompok minoriti terhadap masyarakat negara ini.

Beliau berkata keadaan semasa memperlihatkan seolah-olah wujud “tyranny of the minority” apabila ada segelintir pihak yang lantang, marah dan gemar menabur fitnah cuba menentukan kehendak mereka ke atas majoriti rakyat.

“Sekarang ini minoriti yang bising, marah, yang kejam, panaskan orang. Yang berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah dan takutkan orang. Ini seolah-olah tyranny of the minority. Kezaliman, kekejaman golongan kecil yang memaksa golongan besar (majoriti).

“Saya ambil kesempatan ini menyeru… sudah sampai ketikanya yang majoriti ini bersuara dari hati nurani mereka (supaya) selamatkan negara kita dan majukan semua,” kata beliau menerusi ucap tama pada majlis Wacana Harmoni MADANI sempena Hari Wesak, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang juga pengerusi bersama penganjur wacana itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC) Lillian Chang.

Anwar berkata, sejak awal pembentukan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Malaysia dibina atas asas “Bersekutu Bertambah Mutu” dengan menerima hakikat kepelbagaian kaum dan agama.

Beliau berkata walaupun masyarakat Melayu dan Bumiputera merupakan majoriti serta Islam ditetapkan sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan, negara ini terus dibangunkan atas dasar saling menghormati dan memuliakan antara satu sama lain.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, kita tidak melakar sesuatu yang baharu, tetapi kita meneruskan agenda yang telah ditetapkan oleh pengasas negara,” kata beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek teknologi, digital dan inovasi semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan nilai, etika dan hati nurani yang berakar daripada ajaran agama.

Beliau menegaskan bahawa konsep kasih sayang dan belas kasihan yang terkandung dalam semua agama perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian dan bukannya digantikan dengan kebencian serta perpecahan.

Pada masa sama, beliau berkata cabaran semasa turut berpunca daripada kekurangan pemahaman sehingga mencetuskan penghakiman melulu termasuk penggunaan sentimen agama di media sosial dan arena politik untuk menyemai kebencian.

Mengulas isu keadilan sosial dan ekonomi, Anwar menegaskan beliau menyokong penuh usaha membantu Bumiputera yang masih miskin, namun pada masa sama bantuan perlu disalurkan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Beliau berkata negara perlu membantu golongan susah sebagai satu keluarga besar selain berani mengakui kelemahan termasuk isu rasuah dan penyelewengan saham yang melibatkan puluhan bilion ringgit.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus memberikan penghormatan dan sokongan bagi menjayakan sambutan Hari Wesak pada tahun-tahun akan datang.

Wacana tersebut yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan MBCC menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk tokoh agama, ahli akademik dan wakil masyarakat, dengan tumpuan kepada dialog antara agama, khidmat komuniti serta pembangunan ekonomi berteraskan nilai.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menganjurkan program wacana berkenaan termasuk melibatkan pelaksanaan aktiviti jangkauan di seluruh negara melalui rangkaian organisasi.

Beliau berkata penganjuran program itu menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan nasional dan menyokong visi Malaysia yang inklusif.

Selain itu beliau juga menekankan nilai seperti kejujuran, tanggungjawab dan kebaikan hati sebagai asas pembentukan masyarakat maju.

“Kehadiran Perdana Menteri pada program ini membawa mesej jelas mengenai komitmen kerajaan terhadap agenda inklusif negara serta pembinaan masyarakat berasaskan nilai bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan