KOTA BHARU, 23 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meluluskan bantuan bulanan serta baik pulih kediaman lima beradik yatim piatu di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh.
Pegawai Agihan Zakat MAIK Siti Farahida Fauzi berkata bantuan bulanan berjumlah RM500 dan sumbangan segera RM2,000 disalurkan kepada keluarga berkenaan bagi menampung keperluan asas serta perbelanjaan harian.
"Kisah menyayat hati keluarga itu yang terpaksa mengikat perut dengan hanya menjamah nasi dan telur rebus sekali sehari selepas kehilangan kedua ibu bapa mereka akibat penyakit kronik telah sampai ke pengetahuan MAIK.
"Prihatin dengan keadaan tersebut, pihak MAIK telah menziarahi keluarga berkenaan semalam dan menyalurkan sumbangan segera sebanyak RM2,000, selain meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Farahida berkata bagi memberi keselesaan kepada lima beradik itu, MAIK juga akan membaik pulih rumah mereka sebagaimana yang dimohon oleh anak sulung keluarga itu iaitu Nur Alia Natasha Mohd Fauzi, 18.
Beliau berkata selain bantuan kewangan, MAIK turut mengambil pendekatan memperkenalkan seorang imam kepada keluarga berkenaan supaya sebarang masalah atau keperluan mendesak dapat dirujuk dengan lebih cepat dan diselesaikan segera.
"Semoga sumbangan zakat ini dapat membantu mengurangkan beban keluarga ini, malah adik-beradik Nur Alia Natasha boleh bersekolah dengan baik kerana pendidikan merupakan jalan terbaik untuk membantu kehidupan mereka yang mendatang nanti," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lima beradik di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh mengharungi kehidupan serba daif apabila menjadi yatim piatu dalam tempoh kurang setahun selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kronik.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut dengan hanya makan nasi berlauk telur rebus sekali sehari, selain bergantung kepada ihsan jiran apabila kehabisan bekalan makanan.
Nur Alia Natasha kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menjaga empat adiknya iaitu Nur Aleeya Balqis, 17, Muhammad Faris, 13, Muhamad Amin, 10, dan Nur Eryna Imani, 5.
Menurut Nur Alia, ibunya, Siti Roziana Muda, 39, meninggal dunia pada 1 Okt tahun lepas akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis manakala bapanya, Mohd Fauzi Mat Zain, 51, pada 23 April lepas akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial