WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kejohanan Kriket Wanita OFBJP Malaysia Semakin Dapat Sambutan

24/05/2026 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Daripada sekadar memberi sorakan di tepi padang hingga turun sendiri ke gelanggang kriket, semakin ramai wanita dalam komuniti diaspora India di Malaysia kini mula menceburi sukan itu menerusi Kejohanan Kriket Wanita Overseas Friends of BJP (OFBJP) Malaysia yang kian mendapat sambutan.

Berlangsung di IWK Eco Park, di sini hari ini, kejohanan berkenaan menyaksikan peningkatan penyertaan daripada empat pasukan sejak diperkenalkan pada 2023 kepada lapan tahun ini, dengan penyertaan 72 pemain wanita.

Presiden sayap wanita OFBJP Malaysia Shalini Kothari berkata kejohanan terbabit bertujuan menarik lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam sukan kriket yang lazimnya didominasi kaum lelaki.

“Di India, kami (kaum wanita) membesar dengan melihat kriket sebagai sukan untuk semua tetapi pada hakikatnya yang  menyertai sukan ini selalunya lelaki dan kami sekadar memberi sorakan.

“Saya terfikir, kenapa kami sendiri tidak turun bermain dan melihat sejauh mana wanita mampu beraksi di atas padang?” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut menggalakkan kecergasan, semangat berpasukan dan interaksi sosial, khususnya dalam kalangan peserta yang terdiri daripada profesional dan ibu.

Mengimbau pembabitannya sejak 2023, Shalini berkata pada peringkat awal mereka menghadapi pelbagai kesukaran termasuk mendapatkan peralatan seperti pemukul serta mencari gelanggang latihan tertutup sesuai kerana cuaca Malaysia yang tidak menentu.

“Kini, selepas tiga tahun, para pemain semakin mahir. Mereka mengikuti sesi latihan bimbingan dan turun dengan persediaan untuk perlawanan kompetitif, bukan sekadar perlawanan persahabatan. Kami memiliki 72 pemain wanita yang beraksi hari ini,” katanya.

Shalini berkata Persatuan Kriket Malaysia (MCA) telah banyak memberikan sokongan, selain beliau turut menyatakan hasrat untuk merapatkan jurang antara komuniti ekspatriat dan tempatan dengan mempelawa rakyat Malaysia menyertai edisi akan datang, sekali gus membantu memperkukuh ekosistem kriket negara.

Sementara itu, Presiden MCA Mahinda Vallipuram yang memuji inisiatif penganjuran berkenaan berkata perkembangan kejohanan itu membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap kriket dalam kalangan wanita, di samping menekankan bahawa acara yang digerakkan oleh komuniti amat penting dalam melengkapkan usaha persatuan itu untuk mempromosikan kriket.

Beliau berkata penglibatan yang lebih meluas daripada organisasi dan komuniti mampu membuka lebih banyak peluang kepada pemain, sama ada ekspatriat mahupun tempatan untuk meningkatkan kemahiran serta memajukan sukan itu di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan