| BERITA TERGEMPAR | Allianz Malaysia posts higher net profit of RM227.35 mln in 1Q FY2026 compared to RM213.04 million in 1Q FY2025 | |
Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia Business Group (MBG), sebuah konglomerat pengeluar makanan dan minuman (F&B) yang berorientasikan eksport, bersedia membina pengaruhnya di Thaifex Anuga Asia 2026, yang merupakan pameran perdagangan F&B terbesar dan paling komprehensif di Asia.
Sebanyak 23 syarikat Malaysia di bawah MBG menyasarkan untuk memperluas kehadiran mereka di pasaran global di pameran perdagangan F&B utama rantau ini, yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Mei.
Naib Presiden MBG Mark Law berkata kumpulan itu berharap syarikat yang mengambil bahagian akan meraih jualan sekurang-kurangnya RM15 juta di pameran itu tahun ini.
Beliau berkata kebanyakan daripada 23 syarikat F&B Malaysia itu merupakan pempamer berulang, sekali gus memberi keyakinan pameran tersebut akan menyokong usaha pengembangan antarabangsa mereka.
“Kami menjangkakan jualan meningkat kepada kira-kira RM15 juta tahun ini, terutamanya kerana kebanyakan syarikat memperkenalkan produk-produk baharu.
“Ini kerana mereka menampilkan lebih banyak produk inovatif yang disesuaikan untuk pasaran berbeza dan mereka datang dengan persediaan yang lebih baik berdasarkan pengalaman lepas,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Mark berkata MBG bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk mengenal pasti pasaran yang paling sesuai bagi produk Malaysia.
“Kami mahu memahami keperluan pasaran semasa. Sebagai contoh, jika kami menyasarkan 7-Eleven, kami perlu tahu apa produk yang dicari oleh 7-Eleven.
“Kami memerlukan risikan pasaran, kajian pasaran dan tinjauan supaya kami dapat menghasilkan produk, atau membungkusnya dengan cara yang menarik perhatian di 7-Eleven,” katanya.
Mark menambah minuman sedia diminum Malaysia dan produk yang diperakui halal dijangka menerima permintaan yang stabil di pameran perdagangan itu.
Sebanyak 159 syarikat Malaysia akan menyertai Thaifex Anuga Asia 2026, yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa dengan kerjasama Dewan Perniagaan Thai dan Koelnmesse, salah satu penganjur pameran perdagangan terkemuka dunia.
Pameran perdagangan itu bakal berlangsung di Impact Arena, Muang Thong Thani dan dijangka menarik pembeli, pengimport serta wakil industri makanan dari lebih 130 negara, dengan lebih 1,168 pempamer dari Thailand dan luar negara.
Pameran itu akan mengetengahkan pameran F&B, sesi padanan perniagaan antarabangsa, pameran teknologi dan inovasi makanan, serta perbincangan mengenai trend makanan masa depan dan sekuriti makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial