| BERITA TERGEMPAR | Allianz Malaysia posts higher net profit of RM227.35 mln in 1Q FY2026 compared to RM213.04 million in 1Q FY2025 | |
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan memandang serius insiden maut melibatkan tiga pekerja kontraktor di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman X, beliau berkata siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Anwar berkata kerajaan juga akan memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan pekerja negara.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.
Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, (Kuantan, Pahang); dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, (Bandar Indera Mahkota, Pahang).
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataan hari ini mengesahkan insiden itu melibatkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah dan memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial