KANGAR, 25 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu Banjaran Nakawan di negeri itu terus dipelihara sebagai Nadi Bumi Perlis, melambangkan keindahan alam semula jadi serta kekuatan warisan negeri yang amat bernilai untuk generasi kini dan akan datang.
Baginda menzahirkan harapan agar segala usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari yang dilaksanakan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat serta mengangkat Perlis sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.
Raja Perlis bertitah demikian sempena Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari “NAKAWAN - The Living Soul of Perlis/Nadi Bumi Perlis” di sini semalam.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mewakili Raja Perlis menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin amat menghargai penerbitan buku dan dokumentari itu kerana ia bukan sahaja memperlihatkan keindahan alam Perlis, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sebenar Banjaran Nakawan.
Raja Perlis turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menyokong serta menjayakan projek berkenaan.
“NAKAWAN - The Living Soul of Perlis/Nadi Bumi Perlis” ialah projek dokumentari alam semula jadi dan budaya yang mengetengahkan kepentingan Banjaran Nakawan sebagai nadi ekosistem serta warisan sosiobudaya negeri itu.
Kenyataan itu memaklumkan dokumentari yang diterbitkan Roots & Shoots Malaysia itu menelusuri perjalanan sepanjang 36 kilometer banjaran batu kapur tertua di Malaysia bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis.
Ia turut memaparkan siri penceritaan menyentuh kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan dan keunikan landskap semula jadi yang subur di sekitar Banjaran Nakawan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial