WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUSKOP Sumbang 36 Ekor Lembu Korban Sempena Aidiladha Di Bukit Mertajam

25/05/2026 05:55 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi di bawahnya menyumbangkan sebanyak 36 ekor lembu korban bersempena dengan sambutan Aidiladha, tahun ini.

Sumbangan berjumlah RM216,000 itu disalurkan melalui Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama KUSKOP bagi membantu golongan yang memerlukan serta mengimarahkan syiar Islam di kawasan berkenaan.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Rosly Yusof berkata jumlah sumbangan pada tahun ini mencatat peningkatan yang ketara berbanding sasaran awal sebanyak 20 ekor dan melonjak berbanding hanya 17 ekor lembu yang diusahakan pada tahun lepas.

​"Kami amat menghargai sumbangan semua agensi penaja yang tampil menyokong hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dalam memastikan kebajikan komuniti di kawasan ini terus terpelihara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Majlis Penyerahan Lembu Korban dan Replika Cek Sumbangan itu berlangsung di Bandar Perda yang turut dihadiri barisan kepimpinan agensi KUSKOP.

Sumbangan lembu korban itu melibatkan UDA Holdings sebanyak 10 ekor, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) yang masing-masing menyumbang lima ekor, manakala Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyumbang empat ekor dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebanyak dua ekor.

Rosly berkata sumbangan itu bakal memberikan manfaat kepada 27 pengurusan masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) tempatan.

​Selain agihan itu, katanya beberapa program komuniti turut dirangka bagi memperkukuh jalinan kebersamaan antaranya Program Jamuan Hari Raya anjuran Koperasi Gerbang Malam Perda dengan kerjasama SKM dan Pusat Khidmat Parlimen pada 30 Mei ini di Tapak Uptown Bandar Perda dan Majlis Kenduri Sekampung pada 31 Mei.

Rosly berkata Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut berpesan agar ibadah korban itu dijadikan wadah untuk memperkukuh nilai pengorbanan, keikhlasan, dan kesyukuran demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

​"Beliau menekankan bahawa semangat Aidiladha harus diterjemahkan bukan sahaja melalui ibadah, tetapi juga menerusi usaha saling membantu, menyantuni golongan yang memerlukan, dan memperkukuh perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya.

​-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan