ALOR SETAR, 25 Mei (Bernama) -- Seorang pemandu jengkaut (ekskavator) cedera parah selepas kenderaan dipandunya tertimbus runtuhan tanah kuari dalam kejadian di Simpang Bukit Tembaga, di Pokok Sena, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian runtuhan tanah dan batu kuari yang melibatkan mangsa pada 2.07 petang, sebelum tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami dapati runtuhan tanah dan batu kuari menghempap sebuah jengkaut hingga menyebabkan pemandunya terperangkap dan tersepit di bawah runtuhan tersebut. Struktur pintu dan rangka kabin jengkaut telah dipenuhi dengan tanah.
“Tujuh anggota BBP Pokok Sena yang terlibat telah menstabilkan dan menjalankan kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan hidraulik serta alatan khas bagi membuka ruang akses kepada mangsa,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Beliau berkata mangsa, Ahmad Zaidi Dali, 29, yang cedera parah telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, saksi kejadian, Roshazwan Saad, 35, yang sedang menunggu muatan dimasukkan ke dalam lorinya, berkata runtuhan berkenaan telah menolak lorinya ke hadapan dan berubah daripada kedudukan asal.
“Saya tengah tunggu mangsa masukkan batu kuari dalam lori apabila tiba-tiba runtuhan berlaku. Mangsa tidak nampak sebab terkambus tetapi saya dengar dia minta tolong, jadi saya terus menghubungi talian kecemasan 999.
“Memang nak bantu dia tetapi tidak tahu macam mana, batu besar-besar, saya nampak tangan dia keluar minta tolong. Saya suruh sabar, tunggu bomba datang. Memang panik sebab tidak pernah jadi macam ini dalam tempoh lima tahun saya bekerja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial