| BERITA TERGEMPAR | Allianz Malaysia posts higher net profit of RM227.35 mln in 1Q FY2026 compared to RM213.04 million in 1Q FY2025 | |
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Paramount Corporation Bhd (Paramount) menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM1.2 bilion tahun ini, disokong oleh pelancaran baharu, penambahan tanah secara aktif dan strategi untuk mengukuhkan keuntungan dalam jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Jeffrey Chew Sun Teong berkata kumpulan itu menyasarkan pelancaran tahunan antara RM1.0 bilion dan RM1.5 bilion, disokong oleh projek di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kedah.
“Kami masih memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah, terutamanya kediaman,” katanya pada satu taklimat media hari ini.
Chew berkata Paramount mengekalkan nisbah 70:30 antara pembangunan bangunan tinggi dan bertanah, selaras dengan permintaan pasaran dan perancangan pembangunan sedia ada kumpulan itu.
Kumpulan itu juga menyasarkan untuk mencapai pulangan atas ekuiti (ROE) sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2030, berbanding 8.3 peratus pada tahun kewangan 2025.
Mengenai pengembangan bank tanah, beliau berkata Paramount telah mengambil langkah menambah semula tanah secara aktif sejak 2024, dengan bank tanah baharu membawa potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.0 bilion.
“Penambahan semula tanah akan menyokong pelancaran masa depan kami dan memberi gambaran yang jelas untuk perancangan pembangunan kumpulan dalam jangka masa sederhana,” kata Chew.
Beliau berkata permintaan dalam pasaran hartanah kekal bersegmen, dengan pembeli rumah yang ingin menaik taraf menjadi lebih berhati-hati, manakala pembeli rumah permulaan terus menunjukkan daya tahan.
“Orang ramai sedang tunggu dan lihat, terutamanya dalam segmen menaik taraf,” katanya, sambil menambah bahawa sesetengah pembeli menangguhkan rancangan untuk berpindah ke rumah lebih besar berikutan kebimbangan terhadap pendapatan yang tidak stabil, bekalan bahan api dan ketidaktentuan yang lebih meluas.
“Jadi, kenapa perlu menaik taraf? Saya kekal tinggal di rumah ini dahulu, jangan pindah.
“Oleh itu, pasaran yang ingin menaik taraf ini sedang terjejas,” katanya.
Bagaimanapun, segmen rumah permulaan ini kekal disokong oleh pembeli rumah pertama, penyewa dan pasangan baharu berkahwin yang perlu memiliki rumah.
“Segmen lain yang tidak terjejas ialah rumah permulaan, rumah pertama,” kata Chew, walaupun beliau mengakui bahawa kebanyakan pembeli bimbang harga bahan mentah boleh meningkat lagi dan menjadikan rumah lebih mahal pada masa hadapan.
“Dalam jangka masa panjang, akan ada orang yang masih perlu membeli. Akhirnya, mereka mungkin menyewa untuk seketika dan kemudiannya membeli, atau mereka akan tinggal di rumah mereka sendiri dan menunggu sehingga keadaan menjadi tenang,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial