KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dilanggar kereta sendiri yang bergerak dalam keadaan mengundur dipercayai akibat mangsa terlupa menarik brek tangan selepas memarkir kenderaan itu di rumahnya di Batang Kali, Hulu Selangor petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ACP Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden yang menimpa lelaki berusia 67 tahun itu pada 5.30 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 5.18 petang semasa mangsa meletakkan kenderaannya di dalam garaj rumah sebelum keluar untuk menutup pagar.
“Bagaimanapun, kenderaan tersebut tiba-tiba mengundur sendiri dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kenderaan terbabit,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa disyaki tidak menarik brek tangan kenderaan itu selain keadaan garaj rumah yang landai dan menurun ke arah pintu pagar.
Ibrahim berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta jenis Proton Saga selepas tiba di lokasi kejadian pada 5.43 petang.
Operasi itu melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial