KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat Malaysia (TDM) 2026 yang berlangsung di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata daripada jumlah itu, tujuh ekor lembu merupakan sumbangan pelbagai pihak dan individu bagi menjayakan ibadah korban berkenaan.
Beliau berkata program tahunan itu bukan sahaja menzahirkan penghayatan terhadap tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat gotong-royong dalam kalangan warga tentera.
“Pada hari ini, kita ada sebanyak 11 ekor lembu yang terlibat langsung untuk dikorbankan dan tujuh ekor telah disumbangkan.
“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama anggota tanpa mengira lapisan pegawai atau anggota bawahan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis berkenaan di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Mohamad Suria berkata kira-kira 500 pegawai dan anggota menghadiri majlis itu, manakala program sama turut dilaksanakan di kem tentera darat di seluruh negara bermula semalam hingga hari ini sempena sambutan Aidiladha.
Beliau berkata daging korban yang selesai dilapah dan dibungkus akan diagihkan kepada anggota terlibat selain golongan memerlukan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota tentera bertugas di sempadan negara dan pulau-pulau hingga tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada anggota yang berada di lapangan dan teruskan melaksanakan tugas dengan jujur serta ikhlas demi memastikan negara terus aman dan segala ancaman dapat dibendung seawal mungkin,” katanya.
Majlis Ibadah Korban Perdana TDM 2026 bermula seawal 8 pagi dengan ibadah korban sebelum diteruskan dengan aktiviti melapah, pembungkusan dan pengagihan daging korban.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial