WILAYAH - TENGAH > BERITA

Penduduk Putrajaya Diminta Tidak Panik Bunyi Letupan Meriam Pada 3 Dan 5 Jun

31/05/2026 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Orang ramai khususnya penduduk di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik apabila mendengar bunyi letupan meriam pada 3 dan 5 Jun ini. 

​Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata bunyi letupan itu susulan pelaksanaan tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia bersempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, di Presint 1. 

​Beliau berkata dua das tembakan meriam akan dilepaskan pada sesi raptai penuh bermula 8.30 pagi, Rabu ini (3 Jun).

“Pada acara sebenar iaitu Jumaat (5 Jun) sebanyak 21 das tembakan akan dilepaskan pada waktu yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata tiga laluan utama juga akan ditutup sementara bermula 7 pagi iaitu Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur dan laluan di sekitar Kompleks E.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas dijangka berlaku di lokasi terbabit dari 7 hingga 10 pagi, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan polis, merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan