Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
ISKANDAR PUTERI, 8 Jun (Bernama) -- Bagi ibu yang sarat mengandung atau membawa anak kecil untuk pemeriksaan kesihatan, keselesaan ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan bukanlah suatu kemewahan, sebaliknya keperluan.
Justeru, pemindahan operasi Unit Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Gelang Patah (KKGP) ke kawasan perindustrian Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC), di sini menerusi inisiatif decanting (penyusunan) Kerajaan Negeri Johor disambut baik pesakit yang kini menikmati persekitaran lebih selesa dan teratur.
Suri rumah S. Geetha, 33, yang hamil tiga bulan berkata antara cabaran utama sering dihadapinya ketika mendapatkan rawatan di lokasi lama di Taman Nusa Perintis ialah kesukaran mencari tempat letak kenderaan kerana jumlah pesakit yang ramai sehingga perlu meletakkan kenderaan di tepi jalan.
“Sekarang lebih mudah kerana kawasan parkir lebih luas dan lokasi juga lebih selesa untuk pesakit mendapatkan rawatan,” kata wanita yang hamil anak kedua itu kepada Bernama.
Bagi suri rumah Fatanah Izzati Mohd Hamdan, 30, yang melahirkan anak sulung bulan lepas, perubahan paling dirasai ialah ruang menunggu lebih luas serta susun atur perkhidmatan lebih mesra pesakit.
Fatanah Izzati berkata keadaan sesak di fasiliti lama kadangkala menyebabkan pergerakan pesakit menjadi kurang selesa terutama bagi ibu mengandung dan mereka yang membawa bayi.
“Sebelum ini rasa seperti berlanggar bahu disebabkan sesak, terlalu ramai. Kalau hendak ke makmal pula kena keluar namun sekarang semua di dalam satu bangunan,” katanya.
Wong Yoke Lin, 64, pula memuji inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan golongan wanita dan kanak-kanak mendapat perkhidmatan kesihatan lebih baik.
“Saya baru kali pertama datang ke klinik ini dan bagi saya inisiatif (kerajaan negeri) bagus kerana memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” kata ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati operasi klinik kesihatan itu lancar dengan ruangan dalaman yang lebih kondusif dan selesa selain lokasinya yang tidak berada dalam kawasan yang sesak dengan kenderaan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata KKGP di Taman Nusa Perintis sering mengalami masalah kesesakan kerana menerima kira-kira 800 pesakit setiap hari dalam keadaan ruangan yang sempit.
Beliau dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah turun padang untuk membantu menambah baik fasiliti itu mencadangkan Unit Ibu dan Anak dipindahkan ke SILC bagi menyelesaikan isu kesesakan secara menyeluruh serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Fasiliti baharu unit itu beroperasi sejak 8 Dis tahun lepas dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kanak-kanak, penjagaan kehamilan dan ibu selepas bersalin serta kesihatan wanita.
Kemudahan lebih baik serta ruang yang luas, persekitaran kondusif dan akses perkhidmatan lebih sistematik itu bukan sahaja membantu mengurangkan kepadatan pesakit malah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan golongan tersebut di Gelang Patah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial