KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Program Fun Walk HAWANA 2026 yang kali pertama diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerima sambutan luar biasa apabila sebanyak 1,500 peserta mengesahkan penyertaan.
Ketua Jawatankuasa Sukan HAWANA 2026 Abdul Halim Hafiz Mohamad Radzali berkata susulan itu, pihak penganjur terpaksa menutup sesi pendaftaran lebih awal daripada yang dijadualkan.
“Sokongan padu ini sama ada daripada rakan media mahupun komuniti awam jelas membuktikan orang ramai sangat menyokong aktiviti riadah berasaskan kekeluargaan seperti ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 30 di Bernama Radio hari ini.
Acara berjalan kaki 2.6 kilometer itu akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad ini, dan peserta digalakkan hadir seawal 6.30 pagi untuk persediaan, sesi pemanasan badan dan taklimat keselamatan sebelum pelepasan pada 8 pagi.
Selain aktiviti berjalan kaki, pelbagai acara sampingan disediakan untuk seisi keluarga termasuk sukan rakyat seperti batu seremban, congkak, kercang dan dam haji selain pertandingan mewarna serta kuiz.
Pengambilan kit peserta bagi petugas Bernama dan keluarga boleh dibuat di Dewan Bernama hari ini manakala peserta luar boleh berbuat demikian di lobi Wisma Bernama dari 10 pagi hingga 4 petang esok.
Berhubung lokasi, Abdul Halim Hafiz berkata Taman Tasik Titiwangsa dipilih kerana menjadi mercu tanda di tengah ibu kota selain memiliki trek yang selamat dan bebas daripada kenderaan bermotor.
Beliau berkata pihak penganjur turut bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawal pergerakan trafik di sekitar kawasan acara, selain menugaskan kira-kira 15 marshal terdiri daripada petugas Bernama di sepanjang laluan.
“Peserta juga perlu singgah di Info Station di Checkpoint 2 untuk mendapatkan pelekat pengesahan yang perlu ditampal pada bip dan ditunjukkan di garisan penamat bagi melayakkan mereka menerima medal penyertaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program tersebut menawarkan 500 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan sehingga RM50,000, termasuk 10 hadiah utama berupa motosikal elektrik bernilai RM3,000, basikal serta barangan elektrik rumah.
Peserta turut dipelawa untuk menyertai pertandingan fotografi Instagram menerusi lima kategori antaranya kostum terbaik, peserta paling sporting dan swafoto terbaik.
Bagi menyertai pertandingan itu, mereka hanya perlu memuat naik gambar kreatif menggunakan tanda pagar rasmi acara dan memastikan akaun media sosial tersebut ditetapkan dalam mod awam.
Fun Walk HAWANA 2026 antara pengisian sempena sambutan HAWANA tahun ini yang bertujuan menghimpunkan pengamal media dan masyarakat dalam suasana santai, di samping mempromosikan amalan gaya hidup sihat.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial