WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perdagangan Edaran Malaysia Dijangka Cecah 6.1 Peratus Tahun Ini -- Kenanga IB

12/06/2026 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan perdagangan edaran Malaysia diunjur pada 6.1 peratus dalam 2026 berbanding 5.6 peratus pada 2025 susulan prestasi lebih kukuh tahun ini yang mengatasi jangkaan awal.

Prestasi itu dipacu oleh usaha seperti pengumpulan stok borong, peningkatan harga berkaitan petroleum serta pemulihan dalam jualan kenderaan motor, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu menyatakan pertumbuhan perdagangan edaran turut meningkat kepada 9.4 peratus daripada 7.5 peratus bagi tempoh Januari-Mac.

“Ini merujuk kepada permintaan awal  di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan tekanan kos serta ketidaktentuan bekalan.

“Bagaimanapun, prestasi sektor runcit yang lebih sederhana mungkin menandakan momentum asas perbelanjaan pengguna yang mulai kembali normal selepas disokong oleh peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan sebelum ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan lonjakan harga tenaga, ketegangan geopolitik yang ketara serta gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan, berpotensi memberi tekanan ke atas aktiviti penggunaan serta perniagaan dalam separuh kedua 2026.

“Pengukuhan pada masa ini berkemungkinan bersifat sementara dan mungkin tidak lagi mampan dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.

Selain itu, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2026 berbanding pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan prospek ekonomi yang berhati-hati namun masih kekal optimis.

Petunjuk bulanan termasuk prestasi perdagangan pengedaran lebih kukuh serta pertumbuhan pengeluaran perindustrian pada April yang mengatasi jangkaan menunjukkan aktiviti ekonomi domestik kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026.

“Pemulihan dalam aktiviti motor dan jualan borong hanya menunjukkan sokongan peningkatan kepada pertumbuhan jangka masa terdekat, terutama dalam sektor berkaitan perkhidmatan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran bahawa momentum pertumbuhan akan mengukuh dalam suku kedua sebelum menyederhana dalam separuh kedua jika ketegangan geopolitik terus wujud dan menjejaskan rantaian bekalan.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan