WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Perlu Bentuk Masa Depan Dengan Keupayaan Bertindak, Tindakan Kolektif - ISIS Malaysia

01/07/2026 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- ASEAN dan negara Asia-Pasifik perlu bertindak lebih sekadar menyesuaikan diri dengan susunan global yang semakin berpecah dan sebaliknya secara aktif membentuk hasil serantau menerusi agensi yang lebih kukuh, daya tahan dan tindakan kolektif, kata Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.

Menyampaikan ucapan alu-aluannya pada pembukaan sesi pleno pertama Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 pada Rabu, Mohd Faiz berkata cabaran rantau ini bukan lagi sekadar mengimbangi prinsip dengan pragmatisme, tetapi memelihara dan melaksanakan keupayaan bertindak (agency) sendiri di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata keupayaan bertindak tidak seharusnya diukur dengan cara negara bertindak balas terhadap tekanan luar tetapi dengan kemampuan mereka membentuk hasil melalui pilihan yang disengajakan, tindakan kolektif dan penglibatan strategik.

“Bagi ASEAN dan rantau yang lebih luas, ini bermula dengan mengukuhkan kapasiti dalaman dan daya tahan di peringkat nasional dan serantau, memastikan penyaluran barangan awam yang konsisten tanpa mengira kejutan global atau ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Mohd Faiz berkata daya ketahanan akan membolehkan negara melibatkan diri dengan kedudukan yang kukuh dan akhirnya membantu menentukan, bukannya sekadar menyesuaikan diri dengan perintah antarabangsa yang sentiasa berubah.

Beliau berkata walaupun keupayaan bertindak sering dikaitkan dengan kuasa besar, bagi kebanyakan negara di rantau ini ia adalah satu keperluan, dicerminkan dalam kemampuan mereka untuk mengekalkan autonomi strategik, mengembangkan pilihan dasar dan bertindak secara sengaja walaupun menghadapi tekanan."

“Negara bukan semata-mata secara pasif ditentukan oleh sejarah; mereka juga pengarangnya," katanya, sambil menambah sesuatu negara mesti menjalankan peranan untuk melakarkan masa depan mereka sendiri.  

APR ke-39, anjuran ISIS Malaysia, diadakan dari 30 Jun hingga 2 Julai di bawah tema “Accelarating Agency dan Action”.

Acara bermula dengan jamuan makan malam pada Selasa yang dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani manakala perbincangan pleno meja bulat secara rasmi bermula hari ini.

Menurut ISIS Malaysia, persidangan tahun ini menandakan peralihan daripada perbincangan sebelum ini yang tertumpu pada mengemudi ketidakpastian geopolitik ke arah mengukuhkan daya tahan serantau dan tindakan kolektif ketika perintah berasaskan peraturan global berdepan pemecahan dan persaingan strategik.

Agenda persidangan itu disandarkan pada empat garis strategik iaitu paksi China-India, daya tahan ASEAN di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang semakin sengit, kebimbangan keselamatan nuklear yang diperbaharui dan geopolitik mineral utama serta rantaian bekalan.

Mohd Faiz berkata perbincangan sepanjang meja bulat itu akan mengkaji bagaimana keupayaan bertindak boleh diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna, termasuk melalui perbahasan mengenai peranan China dan India yang semakin berkembang, perkaitan institusi masa depan ASEAN, pertimbangan nuklear dalam pemikiran strategik dan peningkatan kepentingan mineral utama, daya tahan ekonomi dan rantaian bekalan yang selamat.

Beliau menegaskan APR bukan bertujuan untuk menjadi ruang gema atau latihan akademik yang terasing dengan realiti, tetapi sebagai platform yang membolehkan peserta secara terbuka mempersoalkan andaian lazim dan menjana idea yang akhirnya mampu membentuk dasar masa depan.

Diplomasi Trek Kedua mempunyai nilai kerana ia menduduki ruang yang selalunya tidak diperoleh diplomasi rasmi.

“Kami memahami kedudukan yang rasmi, tetapi kami tidak dikekang oleh mereka. Kami bertanya soalan sukar untuk mendapatkan jawapan yang tidak menyenangkan,” katanya.

Persidangan itu juga menampilkan beberapa siri dialog berprofil tinggi, termasuk melibatkan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke mengenai pembinaan keupayaan bertindak kuasa pertengahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada Khamis, hari terakhir persidangan itu, diikuti sesi dialog.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan