SEATTLE, 2 Julai (Bernama-dpa) -- Belgium melakar kebangkitan dramatik apabila menjaringkan dua gol pada penghujung permainan sebelum Youri Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada saat-saat akhir masa tambahan untuk menewaskan Senegal 3-2 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Habib Diarra meletakkan Senegal di hadapan pada babak pertama sebelum Ismaila Sarr menambah jaringan sejurus selepas rehat, sekali gus meletakkan wakil Afrika Barat itu di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan.
Namun, Romelu Lukaku yang dibawa masuk sebagai pemain gantian merapatkan jurang pada minit ke-86, sebelum kapten Belgium, Tielemans menanduk masuk gol penyamaan tiga minit kemudian.
Kedua-dua pasukan saling mengasak sepanjang 30 minit masa tambahan, namun kekasaran Lamine Camara terhadap Tielemans, disusuli semakan video (VAR) yang panjang, menghadiahkan Belgium sepakan penalti pada masa kecederaan penghujung masa tambahan.
Tielemans menyempurnakan sepakan itu untuk memastikan kemenangan dramatik buat Belgium.
Belgium akan kembali beraksi di Seattle pada Isnin untuk menentang sama ada tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS) atau Bosnia dan Herzegovina, yang dijadual bertemu lewat Rabu.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial