GENERAL > NEWS

PENTING FAHAMI IMPLIKASI POPULASI MENUA - NANTA

18/07/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata memahami implikasi populasi yang semakin menua mustahak bagi pembuat dasar, penyedia penjagaan kesihatan dan komuniti untuk mewujudkan penyelesaian mampan yang menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup warga emas. 

Beliau berkata memandangkan nisbah warga emas semakin meningkat secara relatif seiring populasi usia bekerja ia mencetuskan pelbagai cabaran sosial, ekonomi serta penjagaan kesihatan yang perlu ditangani oleh masyarakat. 

“Ini adalah antara perkara utama yang saya ketengahkan dalam ucapan pembukaan di Parliamentarians Regional Meeting on Ageing Preparedness and Care Economy in Asia anjuran The Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD) Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

“Forum itu turut menyentuh cabaran dihadapi kaum wanita yang merangkumi majoriti warga emas di Asia Pasifik. Beberapa negara juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan insentif dan mewujudkan dasar komprehensif untuk memperkasakan penduduk yang semakin menua,” tulisnya di X.

Nanta berkata Malaysia juga sedang menyediakan Pelan Tindakan Agenda Negara Menua menerusi  Kementerian Ekonomi yang merangkumi rangka kerja menyeluruh dan pelan tindakan untuk mempersiapkan  negara dalam menangani cabaran dan peluang pembangunan sosioekonomi buat warga emas.

“Selain itu, inisiatif Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) turut diperkenalkan dalam Bajet 2024 bertujuan menawarkan perlindungan sosial komprehensif menyasarkan wanita yang terlibat dalam pekerjaan sektor tidak formal.

“Saya berharap mesyuarat itu yang turut menyaksikan penyertaan negara seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja, India, Filipina serta Laos akan membuahkan hasil dan seterusnya meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan warga emas selain menjalin perkongsian baharu demi masa depan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy