GENERAL > NEWS

ASA2024: Dana Kandungan Kreatif Menanti Pemenang Drama TV, Dokumentari TV Terbaik

22/10/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pemenang dua kategori Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) iaitu Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik, akan menerima hadiah tambahan berupa insentif Dana Kandungan Kreatif selain trofi dan wang tunai.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemenang kategori Drama TV Terbaik akan menerima insentif RM200,000 manakala Dokumentari TV Terbaik akan membawa pulang Dana Kandungan Kreatif berjumlah RM150,000.

“ASA2024 merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi yang memberi pengiktirafan kepada semua pemain industri ini (kreatif). Berbeza sedikit dengan anugerah lain, anugerah ini berdasarkan kepada kualiti dan bukan kepada populariti sahaja.

“Kita mahu memberi pengiktirafan kepada pemain industri ini supaya mereka boleh menghasilkan produk atau kandungan lebih kreatif. Mungkin pemenang juga boleh membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa dan sebagainya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 60 kategori  dipertandingkan melibatkan 40 kategori televisyen, 16 kategori radio serta empat kategori baharu iaitu Drama Terbaik, Drama Bersiri Terbaik, Kandungan Video Terbaik dan Podcast Terbaik.

Teo berkata ASA2024 turut menampilkan dua kategori tanpa pertandingan dan dipilih oleh juri iaitu Anugerah Tokoh Seri Angkasa dan Anugerah Khas Juri.

ASA2024 telah menerima sejumlah 1,860 penyertaan daripada pengamal industri kreatif dan penyiaran tempatan, menunjukkan peningkatan 17 peratus berbanding 1,585 pencalonan pada ASA2022.

Bertemakan “Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan”, Teo berkata ASA2024 menampilkan keunggulan, keistimewaan, eksklusif selain menunjukkan dedikasi daripada pemain industri terhadap kesungguhan mereka.

“Kami telah melantik juri-juri dari luar melibatkan pakar profesional tidak kira dari bidang akademik atau pemain industri berkelayakan kerana kita rasa lebih adil kalau kita mengajak mereka yang datang dari industri untuk buat pemilihan,” katanya.

ASA2024 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 malam, 26 Okt ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 serta Youtube dan Facebook rasmi Kementerian Komunikasi.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang ASA2024 di www.anugerahseriangkasa.gov.my.

-- BERNAMA



 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy