GENERAL > NEWS

JKR LABUAN SERAH PROJEK NAIK TARAF KOLEJ MATRIKULASI LABUAN

17/12/2024 05:02 PM
From Jailani Hasan

LABUAN, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan menyiapkan tiga projek naik taraf bernilai RM11.1 juta di Kolej Matrikulasi Labuan lebih awal berbanding jadual.

Pengarahnya Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata projek itu termasuk menaik taraf serta menggantikan sistem penyaman udara, kerja retikulasi air luaran, dan lapan unit lif.

“Projek berkenaan disiapkan lebih awal daripada dirancang dan diserahkan sebagai pakej komprehensif termasuk Sijil Perakuan Siap, Penyata Akaun Akhir, lukisan seperti binaan, Manual Operasi & Penyelenggaraan, dan Coffee Table Book,” katanya kepada Bernama selepas penyerahan projek itu kepada Pengarah Kolej berkenaan Mohd Mahyuddin Mohd Noordin hari ini.

Beliau berkata projek naik taraf dan penggantian sistem penyaman udara bermula pada Ogos 2023 dan siap Jun 2024 manakala baki kerja retikulasi air luaran bermula Jun 2023 dan siap pada Oktober 2024.

"Penggantian lapan unit lif bermula 1 Sept 2023 dan siap sepenuhnya pada 10 Dis 2024," katanya.

Mohd Faizul berkata objektif JKR adalah untuk meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna di kolej itu selaras aspirasi pendidikan Malaysia untuk memperkukuh pembangunan modal insan di Labuan.

Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan kolej supaya menjalankan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kemudahan yang dinaik taraf itu bertahan lama.

--BERNAMA


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy