Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 GENERAL > NEWS

Syed Mohammed Idid Dinobatkan Profesional Komunikasi Kanan Terbaik IABC APAC 2025

10/11/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Penglibatan Pihak Berkepentingan West Coast Expressway (WCE) Malaysia, Syed Mohammed Idid, telah dinobatkan sebagai ‘Communicator of the Year 2025’ oleh International Association of Business Communicators (IABC) Asia-Pacific (APAC) dalam kategori Senior Communication Professional.

Menurut IABC APAC, dengan pengalaman kerjaya lebih 30 tahun, Syed Mohammed Idid diiktiraf sebagai seorang daripada pakar komunikasi krisis terkemuka di Malaysia dan sering menjadi rujukan dalam situasi berisiko tinggi serta kompleks.

“Kerja beliau dicirikan oleh profesionalisme, empati dan komitmen mendalam untuk melahirkan generasi baharu komunikator,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Perunding Komunikasi We Communications Malaysia Daniel Delaney, yang menamakan Syed Mohammed Idid untuk anugerah tersebut, berkata beliau mencerminkan maksud sebenar seorang komunikator dan mentor yang murah hati. Beliau berkongsi pengalaman bertahun-tahun dengan ikhlas dan tanpa sebarang rasa ragu.

“Beliau berkongsi pengalaman berdekad dengan penuh ikhlas dan tanpa sebarang keraguan,” kata Delaney dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi DITO CME Holdings Corporation Dr Donald Lim, menerima anugerah dalam kategori Executive Leader dan dikenali sebagai Bapa Pemasaran Digital Filipina. IABC APAC menyatakan Lim memainkan peranan penting dalam transformasi amalan komunikasi dalam organisasi dinamik serta mempromosikan naratif berasaskan manusia dan teknologi.

Pengerusi IABC APAC Barbara Pesel berkata kedua-dua Syed Mohammed Idid dan Dr Donald Lim melambangkan ciri-ciri yang menginspirasi, kemahiran luar biasa, dan impak yang mendalam yang dihargai dan dikagumi oleh persatuan tersebut.

Beliau menambah bahawa mereka juga menjadi contoh kejayaan yang boleh diteladani dan dipelajari oleh ahli-ahli IABC APAC yang lain.

IABC merupakan rangkaian global profesional komunikasi yang komited untuk meningkatkan keberkesanan organisasi melalui komunikasi strategik. Ia juga berfungsi sebagai sumber rujukan dan sokongan untuk para profesional yang ingin cemerlang dalam bidang komunikasi serta memajukan kerjaya mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy