CRIME & COURTS

Jho Low Hadir Di Suite Najib Semasa Lawatan Rasmi Ke New York Pada 2009 - Bekas Pengerusi 1MDB

25/02/2025 08:53 PM

PUTRAJAYA, Feb 25 (Bernama) -- Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low hadir dalam suite Datuk Seri Najib Razak di Hotel Four Seasons, New York, semasa lawatan rasmi bekas perdana menteri itu pada November 2009.

Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang berkhidmat sebagai Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016, berkata Jho Low berada di dalam suite hotel tersebut ketika Najib mengadakan pertemuan dengan eksekutif Goldman Sachs, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan itu pada masa itu, Lloyd Craig Blankfein dan Tim Leissner.

“Ya, Jho Low berada dalam suite tersebut tetapi tidak terlibat dalam perbincangan dan berada di bilik lain semasa perbualan antara Najib dan Lloyd Blankfein. Saya berada di situ kerana Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi meminta saya menyertai delegasi Perdana Menteri ke New York,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

“Saya difahamkan oleh Shahrol Azral bahawa Datuk Seri Najib akan bertemu dengan pelabur asing,” katanya.

Che Lodin memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan ke-12 pada perbicaraan bela diri Najib terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Wan Azwan Aiman: Adakah pertemuan Datuk Seri Najib dengan Goldman Sachs luar biasa atau jahat, memandangkan 1MDB sudah pun menjadi pelanggan Goldman Sachs sedia ada?

Che Lodin: Tidak, pertemuan itu bukan sesuatu yang luar biasa atau jahat. Dari pemahaman saya, ia merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menarik pelabur asing serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy