SPORTS

Nur Dhabitah Mahu Rehat Sebelum Fikir Rancangan Jangka Panjang

13/08/2024 09:01 PM

SEPANG, 13 Ogos (Bernama) -- Penerjun berpengalaman wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengambil pendekatan untuk berehat sementara waktu sebelum memikirkan soal masa depan penglibatan dalam sukan itu selepas mengharungi pelbagai cabaran termasuk persediaan singkat ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penerjun berusia 25 tahun itu berkata beliau perlu 'reset’ sebelum mengatur perancangan jangka panjang dan percaya beliau masih mempunyai banyak yang boleh disumbangkan menerusi program dan latihan yang betul.

“Saya belum pasti lagi  dan perlu memikirkan semula (reset) diri saya. Saya ada rancangan dan belum ada keputusan lagi...saya nak berehat dulu.

Ditanya tempoh rehat diperlukan, katanya beliau tidak dapat pastikan.

"Itu saya tak boleh cakap...bergantung kepada keadaan mental kamu... bagaimana nak dapatkan kembali dan nak cari jiwa itu semula," katanya kepada media selepas tiba bersama rakan seperjuangan Betrand Rhodict Lises  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Nur Dhabitah menegaskan bahawa beliau masih mencintai sukan itu.

Beliau yang memperoleh tiket ke Paris 2024 menerusi lebihan kuota tidak digunakan atlet negara lain, menamatkan acara final 3 meter (m) papan anjal individu di tempat terakhir daripada 12 peserta, Jumaat lalu.

Sementara itu, Bertrand  menyifatkan penampilan sulung di pentas Olimpik sebagai pembuka mata dan pengalaman berguna dalam membantu mencari tujuannya dalam sukan itu.

Menurutnya, sebelum itu beliau merasakan telah hilang arah tujuan tetapi kini telah memperbaharui keyakinannya susulan pengalaman bertanding dan menghadiri latihan pusat di London menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Penerjun berusia 19 tahun itu terkandas di pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu lelaki di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta dengan 313.70 mata keseluruhan.

-- BERNAMA


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy