REGION - SARAWAK > NEWS

Kementerian Pengangkutan Sokong Usaha Ocean Infinity Cari Semula MH370 Di Lautan Hindi

Published : 25/02/2025 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah proaktif Ocean Infinity dalam menggerakkan kapal sokongan laut dalam di Lautan Hindi bagi meneruskan pencarian pesawat malang Malaysia Airlines MH370 yang hilang 11 tahun lalu.

Menterinya Anthony Loke menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif bagi waris penumpang yang sekian lama menantikan usaha pencarian disambung semula.

“Ocean Infinity telah mula menggerakkan kapal mereka, jadi sudah tentu kami mengalu-alukannya kerana kami telah memberikan kelulusan prinsip untuk meneruskan pencarian. Kini, kami hanya perlu memuktamadkan kontrak untuk ditandatangani.

“Ketika ini, kami sedang memuktamadkan kontrak. Kami baru sahaja mendapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara dan terdapat beberapa perubahan dalam terma serta syarat yang perlu dibuat.

“Jadi, kami masih menyelesaikan butiran akhir sebelum kontrak dimeterai,” katanya pada sidang media di sini hari ini susulan laporan agensi berita Jerman, dpa, yang melaporkan pencarian baharu bangkai pesawat Boeing 777 itu telah dimulakan.

Ketika ditanya mengenai alasan kerajaan meneruskan pencarian, Loke menjelaskan bahawa Ocean Infinity telah memberi jaminan bahawa penemuan mereka berdasarkan kajian mendalam dan data daripada pelbagai pakar.

“Mereka (Ocean Infinity) yakin kawasan pencarian semula lebih meyakinkan kerana sebelum ini mereka telah meliputi kawasan yang luas dan percaya kawasan ini adalah kawasan yang terlepas dalam pencarian lalu.

“Mereka yakin kawasan ini akan memberikan hasil positif dan mereka bersedia mengambil risiko untuk menyambung semula pencarian. Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia meneruskan usaha ini.

“Semoga operasi ini dapat memberikan jawapan kepada waris penumpang – bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada industri penerbangan secara keseluruhan – kerana ini merupakan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan,” tambahnya.

Loke turut mendedahkan bahawa tempoh pencarian tidak akan berlangsung tanpa had, sebaliknya satu tempoh masa tertentu akan ditetapkan dalam kontrak dengan butiran yang sedang dimuktamadkan.

Pada 8 Mac 2014, penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, namun pesawat itu hilang dan tidak pernah dijumpai sehingga kini.

Usaha pencarian pertama Ocean Infinity, yang bermula pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi juga berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy