PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggunakan peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk menggerakkan agenda menangani ketirisan melalui pemantauan dan penguatkuasaan.
KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan menyambut baik Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan khusus dalam melaksanakan inisiatif strategik atau ikhtiar menangani kos sara hidup rakyat dengan lebih meluas serta menangani isu kartel, ketirisan dan penyeludupan.
Menurut kenyataan itu, menerusi Belanjawan 2025 sejumlah RM60 juta diperuntuk kepada KPDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membenteras ketirisan wang rakyat dan menumpaskan sindiket penyeludupan.
“Sejumlah RM27 juta diperuntukkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi memecahkan tembok penguasan kartel dan penipuan bida yang memberi impak negatif kepada rakyat dan negara.
“Bagi membolehkan golongan sasar mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) setiap bulan, sejumlah RM300 juta diperuntukkan bagi peluasan lokasi dan kekerapan pelaksanaan Program Payung RAHMAH MADANI,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurut KPDN, sejumlah RM700 juta diperuntuk khusus bagi memperbanyak saluran program kos sara hidup sebagai usaha mengawal harga barang termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.
Menurut kenyataan itu, KPDN akan terus memberi perhatian kepada kebajikan penduduk luar bandar dengan memastikan ketersediaan bekalan barang keperluan asas menerusi Program Pengedaran Barangan Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming.
"Sejumlah RM250 juta disediakan bagi mengedar barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa termasuk memperluas ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu (Sabah) dan Nanga Palawan, Bintulu (Sarawak).
“KPDN akan terus proaktif bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna dilindungi selain pada masa yang sama, sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara berkembang maju,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA