EKONOMI

Inflasi Malaysia Kekal Sederhana Pada 2024 - OCBC

24/10/2024 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Inflasi Malaysia sangat mengejutkan pada 2024, dengan inflasi utama dan teras pada purata 1.8 peratus pada suku pertama hingga ketiga tahun ini, menurut ahli ekonomi kanan OCBC untuk ASEAN Lavanya Venkateswaran.

Beliau berkata terdapat sedikit risiko penurunan pada unjuran inflasi OCBC 2024 sebanyak 1.9 peratus.

"Inflasi pada 2025 akan dipengaruhi dengan hasil fiskal," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada September, inflasi utama berada pada 1.8 peratus tahun ke tahun, turun daripada 1.9 peratus pada Ogos, tahap inflasi itu di bawah jangkaan konsensus oleh OCBC iaitu sebanyak 1.9 peratus.

Inflasi teras juga berkurangan kepada 1.8 peratus daripada 1.9 peratus pada Ogos.

Untuk 2025, OCBC menjangkakan inflasi secara purata berada pada 2.1 peratus tahun ke tahun.

Lavanya memberitahu beberapa dasar inflasi untuk mengawal inflasi dijangka akan dilaksanakan, antaranya rancangan kenaikan harga bahan api RON95 mulai pertengahan 2025, kenaikan 13.3 peratus dalam gaji minimum dari Februari 2025 dan juga kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 7.0-15 peratus berkuat kuasa pada Disember 2024.

“Jika rasionalisasi RON95 dilaksanakan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, kami menjangkakan harga runcit boleh meningkat sebanyak 20-25 peratus dari Julai 2025, mendorong unjuran purata inflasi oleh OCBC dinaikkan lebih tinggi kepada 2.6-2.8 peratus tahun ke tahun pada 2025.

"Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaannya masih tidak jelas, memandangkan penghapusan subsidi akan disasarkan kepada bahagian pengguna tertentu," katanya.

Kerajaan telah menjangkakan julat inflasi utama antara 2.0-3.5 peratus pada 2025 berbanding 1.5-2.5 peratus pada 2024.

Memandangkan risiko inflasi yang semakin meningkat, Lavanya berkata dia tidak menolak kemungkinan kenaikan kadar faedah pada separuh kedua 2025.

“Mengenai dasar monetari, kami mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus untuk baki beberapa bulan 2024 dan 2025.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan BNM akan terus berhati-hati jika berlaku inflasi pusingan kedua dan tidak menolak kemungkinan kadar faedah mungkin akan naik pada separuh kedua 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy