KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan, pelbagai agensi dalam kerajaan, pengendali pusat data dan pemegang taruh lain sedang mempelajari cara mengurus dan mengendalikan pusat data serta bagaimana untuk mengembangkan industri secara mampan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, namun begitu tumpuan kerajaan bukan hanya semata-mata kepada pusat data.
“Sebaliknya, ia adalah untuk mengembangkan perniagaan dan mencipta pekerjaan yang dikuasakan oleh pusat data, termasuk pembekal peralatan tempatan, membina ekosistem teknologi yang kukuh dan pekerjaan perkhidmatan di Malaysia,” katanya pada Konvensyen Pusat Data dan Pengkomputeran Awan Malaysia 2024, di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika Malaysia memasuki fasa baharu pada 2024 dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) generatif, permintaan terhadap pusat data meningkat dengan ketara untuk menampung permintaan pengkomputeran yang tinggi.
"Saiz pasaran AI diunjur berkembang empat kali ganda dalam tempoh enam tahun akan datang dan dijangka memacu 15 peratus pertumbuhan tahunan permintaan tenaga pusat data global dalam tempoh masa yang sama," katanya.
Liew berkata sebagai permulaan, untuk membentuk garis panduan bagi mengawal selia industri pusat data, kerajaan sedang membangunkan garis panduan keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) dan keberkesanan penggunaan air (WUE).
Menurutnya, kerajaan mengambil langkah seterusnya untuk menangani keberkesanan penggunaan karbon (CUE) bagi meningkatkan kecekapan dan kemampanan tenaga.
Sementara itu, beliau berkata pelaburan dalam pusat data hanya perlu diteruskan sekiranya ia membawa nilai tambah yang besar kepada rakyat, seperti peluang pekerjaan bergaji tinggi dan pemindahan pengetahuan.
Fokus kini memerlukan anjakan baharu bagi memastikan sokongan yang diberikan menggunakan kesan berganda yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini kerana negara tidak lagi dapat mengekalkan pendekatan lapuk dalam menawarkan insentif dan sokongan kepada pelabur tanpa mengambil kira manfaat ekonomi yang lebih luas,” katanya.
Beliau juga menggariskan lima cabaran yang perlu ditangani apabila membina infrastruktur dan mengembangkan perniagaan pusat data iaitu penciptaan pekerjaan, penggunaan air, penggunaan tenaga, penyetempatan dan mencegah pembinaan spekulatif yang boleh mengakibatkan lebihan penawaran.
"Saya amat menggalakkan pemain industri pusat data untuk membentuk persatuan bagi membina platform dasar bersama, serta menyokong dasar yang baik dan kukuh untuk kebaikan bersama industri dan negara," kata Liew.
-- BERNAMA