KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- SME Corp Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Umum bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi (Monsha’at) di Forum Biban24 di Riyadh, Arab Saudi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata menerusi MoU itu, diharapkan dapat memperkukuh kerjasama strategik SME Corp dan PERNAS dalam sektor tumpuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan francais dengan agensi PKS di Timur Tengah.
“Saya dan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Al-Kassabiah menyaksikan pemeteraian MoU antara SME Corp dan PERNAS dengan Monsha’at.
“Semoga kerjasama yang lebih kukuh dapat dibangunkan di antara kedua-dua agensi kementerian ini serta di antara kedua-dua kerajaan dan juga sesama perusahaan dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon bersama delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Riyadh, Arab Saudi, bermula semalam.
Dalam lawatannya, Ewon turut menyempurnakan pembukaan Pavilion Malaysia sempena Forum Biban24 anjuran Monsha’at yang berlangsung dari 5 hingga 9 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Riyadh Front.
Menurutnya, sebanyak 30 syarikat PKS, francais dan koperasi dari Malaysia menyertai pavilion tersebut dan peserta terdiri daripada usahawan yang dibangunkan agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Persatuan Francais Malaysia.
“Ini adalah peluang terbesar untuk usahawan dan syarikat francais Malaysia menyertai pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi seterusnya merebut peluang meluaskan pasaran atau mengeksport produk mereka ke Timur Tengah,” katanya.
-- BERNAMA