KLUANG, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan 956 kes atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM29.24 juta tahun ini.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata hasil rampasan berkenaan melibatkan hampir 69,000 jenis premis termasuk pengilang, pemborong, pasar raya dan peruncit.
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan kompaun bagi pelbagai jenis kesalahan berjumlah RM392,800.
“Dengan ada tindakan penguatkuasaan ini, terutamanya pemeriksaan yang secara berterusan menunjukkan KPDN Johor sangat cakna, sangat prihatin kepada kepentingan pengguna-pengguna di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, juga kutipan jumlah denda mahkamah kepada mereka yang melakukan kesalahan adalah RM623,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2024 Deepavali Peringkat Negeri Johor di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata KPDN Johor memberi jaminan bekalan makanan mencukupi bagi menghadapi musim banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
“Bagi tempoh MTL, KPDN memberi kebenaran kepada pemborong terpilih (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) untuk menyimpan bekalan makanan melebihi kadar ditetapkan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir,” katanya
-- BERNAMA