KOTA KINABALU, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet dari negeri itu yang mencapai kejayaan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.
Majlis itu turut menyaksikan pelari negara Eddy Bernard menerima ganjaran RM50,000 atas pencapaian merangkul pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua atlet yang telah mewakili negeri di kedua-dua temasya sukan berprestij itu.
Beliau berkata komitmen jurulatih dan pengurus pasukan juga tidak dilupakan kerana telah mengorbankan masa serta tenaga demi menjaga kebajikan atlet masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi temasya sukan berkenaan.
“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 pula diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan Para SUKMA," katanya dalam teks ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada atlet renang berasal dari Sandakan Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
"Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu merupakan catatan rekod baharu kebangsaan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berharap semua perancangan Kementerian Belia dan Sukan Sabah berjalan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia negeri, sekali gus memberi jaminan kerajaan Sabah akan terus memperuntuk perbelanjaan besar dan konsisten agar lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat dijalankan.
“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan lebih efisien,” katanya.
Ketua Menteri turut menggesa semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa memanfaatkan segala kemudahan disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.
-- BERNAMA