AM

Belanjawan 2025 Bantu Perkasa Fasiliti Perumahan Awam

29/10/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 dilihat sebagai satu belanjawan yang benar-benar mengenal pasti keutamaan golongan sasar, termasuk golongan miskin bandar yang tinggal di perumahan awam seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengarah Program Kita-untuk-Kita (K2K) Dr Shahridan Faiez berkata peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pemberdayaan komuniti di PPR, misalnya, menunjukkan pendekatan yang tepat dan sangat diperlukan untuk memperkasakan penduduk perumahan awam di Malaysia.

"Ini menunjukkan bagaimana kerajaan memberi kepentingan bukan sahaja kepada infrastruktur fizikal tetapi juga kepada pembangunan komuniti dalam mewujudkan persekitaran perumahan yang lebih berdaya huni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, penduduk PPR sering menghadapi cabaran seperti kesesakan ruang, kemudahan terhad, kemerosotan fasiliti dan kawasan tidak selamat yang menyumbang kepada penurunan kualiti hidup, sekali gus memberi kesan terhadap kesejahteraan mental dan ikatan komuniti.

Katanya dengan tumpuan kepada inisiatif yang digerakkan oleh komuniti, kerajaan menangani aspek penting dalam perumahan awam yang sering diabaikan, iaitu keupayaan komuniti untuk menggerakkan transformasi mereka sendiri.

Fokus terhadap pemerkasaan komuniti ini meneruskan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimulakan dalam Belanjawan 2023 melalui program K2K, satu pendekatan perintis di mana penduduk diberi kuasa untuk memperbaiki persekitaran mereka sendiri melalui usaha kerjasama.

K2K adalah sebuah inisiatif pemerkasaan komuniti yang inovatif oleh Think City, bertujuan menyokong komuniti tempatan yang tinggal di perumahan awam.

Shahridan berkata peruntukan RM200 juta bagi pembaikan infrastruktur kritikal, termasuk penggantian lif yang sudah uzur juga dilihat penting memandangkan infrastruktur yang lemah sering menambah kesulitan harian penduduk PPR seperti lif rosak dan saluran air yang kurang berfungsi.

"Infrastruktur adalah asas kepada perumahan yang selamat dan berdaya huni. Namun, cabarannya adalah memastikan pembaikan infrastruktur ini diselaraskan dengan usaha pemberdayaan komuniti, agar kedua-dua intervensi ini saling menguatkan dan memberi kesan yang berkekalan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, daripada pengalaman Think City sendiri, cabaran sebenar terletak pada koordinasi dan penyelarasan usaha yang berkesan memadangkan tanpa pendekatan yang disasarkan, pembaikan infrastruktur perumahan mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Hanya dengan meningkatkan penyelarasan kedua-dua intervensi ini kita dapat mencapai perubahan yang kekal dan mampan yang layak diterima penduduk PPR," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy