JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ NS Cadang Buka Cawangan Baharu Di Nilai

31/10/2024 04:00 PM

SEREMBAN, 31 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan (NS) merancang untuk membuka sebuah cawangan baharu di Nilai sebagai langkah untuk mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan yang kerap melalui kawasan berkenaan.

Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf berkata peningkatan aktiviti keluar masuk kenderaan perdagangan di Nilai telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat berikutan adanya kuari serta pelbagai projek pembangunan di kawasan itu.

“JPJ menerima banyak maklum balas daripada orang awam yang risau akan keselamatan mereka. Kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan pula semakin meningkat.

"Jadi, sebab itu JPJ perlu ada cawangan di sekitar kawasan Nilai  bagi meningkatkan penguatkuasaan serta menyediakan perkhidmatan yang lebih dekat kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Sementara itu, Hanif berkata setakat ini bagi memastikan keberkesanan operasi di kawasan sempadan Nilai, JPJ negeri turut menerima sokongan daripada JPJ Putrajaya, JPJ Selangor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

Media sebelum ini melaporkan JPJ negeri ini mengambil tindakan terhadap 37,804 kenderaan perdagangan menerusi Operasi Kenderaan Perdagangan bagi tempoh Januari hingga September lepas atas pelbagai kesalahan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy