BUKIT MERTAJAM, 31 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman ke atas 35 pemandu bas ekspres dan persiaran dalam Operasi Khas yang dijalankan di Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di sini hari ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya malam ini, JPJ Pulau Pinang memaklumkan semua saman itu dikeluarkan atas kesalahan tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer (km) atau pemanduan melebihi empat jam.
"Operasi Khas JPJ Pulau Pinang terhadap kenderaan pelancongan dan kenderaan perkhidmatan awam (bas persiaran dan bas ekspres ) itu bermula 11 malam semalam hingga 6 pagi tadi membabitkan 20 pegawai dan aggota JPJ negeri.
"Selain 35 bas yang dikenakan saman tersebut, pihak JPJ turut mengesan kesalahan lain iaitu tidak kemas kini buku log pemandu, gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal," menurut kenyataan itu.
JPJ Pulau Pinang memaklumkan pihaknya turut mengeluarkan 169 notis saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi tersebut.
Pemandu dan pengusaha kenderaan perkhidmatan awam dinasihatkan supaya mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa selain memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya.
-- BERNAMA