AM

Perkeso Perlis Catat Lebih 9,000 Pendaftaran SKSPS

31/10/2024 05:29 PM

KANGAR, 31 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis merekodkan 9,748 pendaftaran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di negeri ini bagi tempoh Januari hingga semalam iaitu melepasi sasaran awal 6,000 pendaftaran pada tahun ini.

Pengarahnya Ahmad Firdaus Hashim berkata daripada jumlah itu 2,250 pendaftaran melibatkan pekerja dalam sektor pertanian termasuk petani yang semakin sedar kepentingan perlindungan sosial selain hasil kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kerajaan menyediakan subsidi caruman sebanyak 90 peratus bagi 20 sektor termasuk pertanian dengan bayaran perlu dibayar RM23.30 manakala baki RM209.50 ditaja oleh kerajaan untuk perlindungan selama setahun bermula dari tarikh bayaran.

“Pendaftaran boleh dibuat secara bersemuka melalui kaunter Perkeso atau secara dalam talian melalui laman sesawang matrix.perkeso.gov.my,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Firdaus berkata pihaknya turut menyasarkan untuk mencapai pendaftaran menyeluruh melibatkan 25,000 petani di Perlis.

Sementara itu,  beliau berkata sebanyak 9,086 suri rumah di Perlis telah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) hingga September lepas iaitu peningkatan lebih 300 peratus berbanding 2,525 pendaftaran pada 2023.

Beliau berkata peningkatan ketara itu membuktikan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan wanita khususnya suri rumah.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata Perkeso Perlis telah membayar faedah untuk 85 kes melibatkan jumlah keseluruhan RM356,260.01 setakat 30 Sept lepas dalam usaha memastikan kebajikan pekerja dan keluarga mereka terjamin.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy