AM

Penjaja, Peniaga Kecil Disaran Carum Perkeso

02/11/2024 03:42 PM

BUTTERWORTH, 2 Nov (Bernama) -- Penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara disaran mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan ketika bekerja.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Perkeso dengan Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) hari ini merupakan antara pencapaian utama yang bertujuan memudahkan penjaja kecil untuk mencarum secara sukarela menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Kita amat menggalakkan bukan hanya kepada ahli-ahli gabungan (GPPPKMM) sahaja, tetapi juga komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk mencarum secara sukarela.

“Hari ini kita ada tiga penerima dalam kalangan peniaga kecil yang telah mencarum dengan Perkeso dan ditimpa kemalangan… mereka mendapat manfaat yang telah disampaikan oleh Perkeso,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara Perkeso dengan GPPPKMM bersempena Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena di sini hari ini. 

Perkeso diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala Datuk Zainal Abidin Abdul Majid mewakili GPPPKMM.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata pada masa ini terdapat kira-kira 450,000 ahli gabungan di 177 cawangan di seluruh negara dan pihaknya akan terus mempergiat kempen bagi menggalakkan penjaja dan peniaga untuk mencarum secara sukarela dengan menyasarkan 100,000 pencarum menjelang hujung tahun ini.

Selain permeteraian MoU, turut diadakan pada HPPK2024 ialah Perasmian Beras MYPenjaja, sumbangan kanopi penjaja dan peniaga kecil, sumbangan faedah SKSPS kepada tiga penerima serta penyerahan Malaysia Book of Record (MBOR) kepada Apam Balik Seri Menanti Istana Premium atas pencapaian menyediakan apam balik terbanyak dalam satu acara iaitu 2,751 keping.

HPPK2024 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan sebanyak 30,000 pengunjung dari seluruh negara hadir memeriahkan karnival berkenaan yang berlangsung tiga bermula semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy