AM

APMM, YFBM Bantu Komuniti Maritim Mersing Hadapi Musim Tengkujuh

31/10/2024 09:53 PM

MERSING, 31 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) membantu komuniti maritim di daerah ini dengan mengagihkan barangan makanan dan keperluan asas lain bagi menghadapi cabaran musim tengkujuh menerusi Program Bantuan Tengkujuh Susur Pulau 2024, baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata dalam program yang diadakan pada Ahad lepas hingga semalam itu, pihaknya menyediakan dua kapal peronda dan dua bot Perkasa bagi membawa bantuan kepada 108 penerima terdiri daripada nelayan serta penduduk di Pulau Pemanggil, Pulau Aur dan Pulau Tinggi.

“Selain bantuan dari segi logistik, pihak kami juga mengadakan taklimat kesedaran keselamatan di laut kepada penghuni pulau sebagai langkah pencegahan kemalangan dan kecemasan.

“Program ini menjadi platform penting bagi APMM dalam usaha mengukuhkan solidariti dan kebersamaan terutamanya dengan komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata program itu juga sebagai langkah proaktif ke arah meningkatkan kualiti hidup komuniti maritim sejajar dengan aspirasi APMM untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

“APMM bersama YFBM berharap usaha ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama strategik di masa hadapan dalam usaha melindungi serta mensejahterakan komuniti maritim,” katanya.

Jelas beliau lagi program berkenaan telah disertai 22 peserta termasuk Ketua Pegawai Eksekutif YFBM Johan Halid.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy