EKONOMI

MFA, KUSKOP Anjur Misi Perdagangan Ke Arab Saudi Perkenal Jenama Francais Malaysia

01/11/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan Misi Perdagangan Francais ke Riyadh, Arab Saudi.

Misi berkenaan bagi memperkenalkan jenama francais Malaysia ke pasaran yang semakin berkembang di Timur Tengah.

Pengerusinya Datuk Dr Radzali Hassan berkata program yang berlangsung pada 5 hingga 9 Nov, 2024 adalah bersempena Program Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC).

Katanya, program tersebut melibatkan penyertaan beberapa syarikat francais terkemuka Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, pendidikan serta perkhidmatan.

“Pasaran Arab Saudi mempunyai potensi besar bagi syarikat francais Malaysia. Kerajaan Arab Saudi kini giat menjalankan pembaharuan ekonomi melalui Visi 2030 dan sektor francais dilihat sebagai satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

“Kami percaya jenama Malaysia mampu menyumbang kepada matlamat ini sambil meningkatkan kehadiran mereka di pasaran antarabangsa, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Radzali, sepanjang misi berkenaan, syarikat-syarikat francais Malaysia akan mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan, perbincangan meja bulat dan pameran francais.

Misi perdagangan itu akan diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Penglibatan agensi kerajaan ini untuk membuka peluang syarikat-syarikat francais Malaysia mengeksport jenama masing-masing ke pasaran Arab Saudi.

MFA turut berharap lebih banyak syarikat francais Malaysia akan berani mengambil langkah ke hadapan untuk menembusi pasaran global, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab francais di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy