AM

Program Kampung Angkat & Santuni Madani: JAN Dekati Komuniti Larut Matang Dan Selama

02/11/2024 10:36 PM

LARUT, 2 Nov (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) turun padang mendekati komuniti setempat di Kampung Masjid, Ijok Perak di sini bagi memperkukuh hubungan dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata Program Kemasyarakatan Kampung Angkat MADANI di kawasan itu bukan sahaja dapat menggalakkan kerjasama antara satu dengan lain tetapi juga menjelaskan kepada masyarakat peranan sebenar JAN.

Beliau berkata beberapa pengisian program melibatkan penduduk bersama warga JAN turut diadakan seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung, perlawanan persahabatan bola sepak, pertandingan gubahan dan aktiviti memasak beramai-ramai.

“Kerja-kerja pembaikan bumbung empat buah rumah penduduk miskin di bawah Program Sayangi Rumahku anjuran Yayasan Perak turut dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Datuk Patimah Ramuji, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Datuk Nor Salwani Muhammad, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat serta Yang Dipertua Majlis Daerah Selama Nor Akmal Yang Ghazali.

Kampung Masjid, yang terletak dalam Parlimen Larut di kawasan Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Mukim Hulu Ijok dan berkeluasan 2,840 hektar, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 900 orang dengan sebahagian besar daripada mereka adalah petani dan bekerja sendiri.

Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI itu, yang berlangsung esok di Padang Awam di sini, bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Seorang penerima bantuan bagi Program Sayangi Rumahku Kampung Angkat MADANI Ijok iaitu Rahmah Zainal Abidin, 72, berkata dia bersyukur kerana JAN membantu membaiki atap rumahnya yang sebelum ini sering mengalami kebocoran sejak 2011.

“Masalah atap bocor ini sudah lama dan kami anak-beranak hanya mampu menutup atap yang bocor. Kali ini, kami diberikan keseluruhan atap baharu... ia nampak kukuh maka mudah sikit sebab tak perlu bimbangkan kebocoran,” kata warga emas itu yang tinggal bersama dua anak lelakinya.

Abdul Samad Abdul Wahab, 57, pula berkata masalah atap rumah bocor yang dihadapi sejak dua tahun lepas kini berakhir dengan bantuan yang diterima daripada JAN.

“ Alhamdulillah dengan bantuan ini, sekarang dah boleh tidur lena, tak perlu bimbang lagi bila hujan,” katanya yang tinggal bersama isteri, Saayah Zainan, 56.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Wan Jaafar iaitu Mohamad Hasan Bakri, Dewan MADANI yang siap dibina pada September lepas telah memberi keselesaan kepada murid untuk melakukan aktiviti kokurikulum.

“Dewan itu sudah lama kami mohon bagi tujuan memberi keselesaan untuk murid melakukan sebarang aktiviti tanpa mengira cuaca hujan atau panas.

"Kami juga dihadiahkan pagar anticuri yang memberi kelegaan dari segi keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Wan Suraya menyempurnakan pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) JAN 2024 di Taman Tasik Taiping yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, yang juga Ahli Parlimen Taiping, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir.

Wan Suraya berkata Taiping agak dekat di hatinya kerana beliau dibesarkan di kawasan itu.

Beliau berkata program itu juga bertujuan memperkukuh hubungan di antara pemimpin dan komuniti setempat.

"Ia juga merupakan sesi libat urus dengan penduduk setempat bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi serta keperluan penduduk di dua kampung berdekatan iaitu Kampung Pokok Assam dan Kampung Tupai," katanya.

Beberapa aktiviti sampingan turut diadakan pada program itu termasuk senamrobik melibatkan komuniti sekitar Taman Tasik Taiping dan pemberian sumbangan Bungkusan RAHMAH kepada 30 keluarga yang memerlukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy