Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dipengaruhi prestasi dolar AS yang kukuh, kata seorang penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas terus bergelut walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dijangka menurunkan kadar faedah, dan tidak memperoleh daya tarikan berikutan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi dan pengukuhan dolar AS ketika ini memberi tekanan berterusan.
“Peralihan pasaran adalah jelas; dengan perubahan dasar di bawah Presiden AS Donald Trump berkemungkinan ditangguhkan sehingga pertengahan hingga akhir 2025, emas sekali lagi niagakan pada kadar asas dan hasil perbendaharaan yang tinggi mengurangkan daya tarikannya,” katanya kepada Bernama.
"Persoalannya sama ada ini pembetulan sementara atau permulaan penurunan yang berterusan," katanya.
Beliau berkata keadaan ini akan bergantung kepada dasar Trump 2.0, terutamanya mengenai langkah ke arah menstabilkan Timur Tengah dan situasi Rusia-Ukraine.
“Namun, buat masa ini, pasaran berada dalam corak bertahan sambil memerhatikan langkah Washington seterusnya. Kenaikan harga emas mungkin sukar pada masa depan," katanya.
Kontrak bulan semerta November 2024 susut kepada US$2,673.10 setiap auns troy daripada US$2,741 setiap auns troy pada Rabu, dan Disember 2024 turun kepada US$2,686 setiap auns troy daripada US$2,753.90 sebelum itu.
Sementara itu, kontrak Januari 2024, Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup rendah pada US$2,686 setiap auns troy daripada US$2,753.90 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan naik kepada 33 lot daripada 19 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka naik kepada 41 kontrak daripada 26 sebelum itu.
Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 6 Nov, 2024, harga emas fizikal berada pada US$2,660.2 setiap auns troy.
-- BERNAMA