AM

Pengiktirafan MSQH Empat Hospital Swasta Di Melaka Pacu Sektor Pelancongan Perubatan

08/11/2024 04:55 PM

MELAKA, 8 Nov (Bernama) -- Pengiktirafan Pensijilan Penuh Akreditasi Malaysia Society for Quality in Health (MSQH) yang diterima kesemua empat hospital swasta di Melaka menjadi pemangkin bagi memacu subsektor pelancongan perubatan pada masa hadapan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pengiktirafan itu merupakan jaminan semua hospital swasta berkenaan mampu menyediakan fasiliti dan kualiti perkhidmatan setaraf dengan negara maju, sejajar dengan piawaian akreditasi yang menetapkan agar keselamatan pesakit perlu diutamakan dan diberi perhatian sewajarnya.

"Pensijilan akreditasi hospital merupakan satu proses penilaian taraf perkhidmatan sesebuah hospital kerajaan mahupun swasta berdasarkan standard kualiti dan piawaian ditetapkan di peringkat kebangsaan dan pihak berautoriti iaitu MSQH.

"Pengiktirafan ini amat penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan di Melaka berada pada satu tahap terbaik khususnya hospital swasta yang menjadi tumpuan pelancong perubatan antaranya dari Indonesia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyampaian Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH oleh Ketua Pegawai Eksekutif MSQH Datuk Dr Heric Corray kepada Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka Mohd Zahiruddin Ahmad.

Pengiktirafan itu adalah bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa pada 30 Julai lepas hingga 29 Julai 2028.

Putra Specialist Hospital Melaka merupakan hospital swasta keempat yang memperoleh pengiktirafan MSQH selain tiga lagi hospital swasta yang turut menerima pengiktirafan sama sebelum ini iaitu Pantai Hospital, Mahkota Medical Centre dan Oriental Melaka Straits Medical Centre.

Ngwe berkata pengiktirafan itu menjadi kayu ukur untuk semua hospital swasta terbabit memastikan mereka menawarkan kecekapan perkhidmatan, sentiasa memperkukuh usaha ke arah penambahbaikan berterusan dalam pelbagai aspek termasuk tatacara kerja, fasiliti dan teknologi yang digunakan.

Sementara itu beliau berkata akreditasi yang diperoleh semua hospital swasta berkenaan juga dilihat sebagai nilai tambah untuk Melaka yang akan menjadi tuan rumah sempena penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada September tahun hadapan.

Beliau berkata justeru semua hospital berkenaan diseru untuk mengambil peluang mempromosikan perkhidmatan atau rawatan kesihatan ditawarkan sepanjang program antarabangsa itu yang berlangsung selama seminggu dalam usaha menarik kedatangan pelancongan perubatan dari seluruh dunia sekali gus mereliasasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi destinasi pelancongan global.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy