SUKAN

Petani Sabah Raih Tempat Ketiga Larian 100km Malaysia Ultra Trail UTMB

16/11/2024 08:39 PM

TAIPING, 16 Nov (Bernama) -- Petani dari Sabah Milton Amat mencipta sensasi tersendiri sebagai wakil Malaysia apabila berjaya menamatkan larian Malaysia Ultra Trail UTMB di tempat ketiga bagi kategori lelaki 100 kilometer (km) di sini hari ini.

Anak kelahiran Pekan Nabalu itu menamatkan larian dengan catatan masa 12 jam 02 minit dan18 saat di belakang dua pelari China Ji Duo (11:01:18) dan Xingzhi Bai (12:00:49), masing-masing di tempat pertama dan kedua.

Lebih manis lagi, kejayaan itu hadir hanya dua hari selepas beliau meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-42.

“Cabaran paling utama untuk saya dalam larian ini adalah kena mendaki Bukit Larut dua kali. Saya bersyukur tiada masalah serius sepanjang larian.

“Walaupun saya beza hanya beberapa minit dengan pelari kedua, saya tidak kecewa kerana sudah buat yang terbaik pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan lariannya di sini hari ini.

Kemenangan tempat ketiga itu melayakkan Milton secara automatik ke Siri Akhir Dunia UTMB yang bakal berlangsung di Chamonix, Perancis pada Ogos tahun depan.

Ditanya mengenai perancangan bagi kejohanan besar berkenaan, Milton berharap agar ada pihak yang sudi tampil menjadi penajanya demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Kalau ada sponsor mungkin saya akan pergi sebab perlu lebih kurang dalam RM10,000. Saya akan cuba mencari kewangan dahulu sebelum pergi beraksi,” katanya.

Sementara itu, larian denai wanita 100km menyaksikan pelari China Lin Chen menepati ramalan apabila mengungguli kategori itu dengan catatan masa 13:15:16, dibezakan hanya satu saat dengan pelari Vietnam Ha Thi Hau yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Tempat ketiga dimenangi Angelie Cabalo dari Filipina yang menamatkan larian dengan catatan 16:14:37.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy