SUKAN

Piala Skuasy Malaysia: Sivasangari, Eain Yow Mara Ke Final

16/11/2024 08:45 PM

PETALING JAYA, 16 Nov (Bernama) -- Pemain skuasy negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow terus menyalakan harapan peminat tempatan apabila mara ke final Piala Skuasy Malaysia 2024 berlangsung esok. 

Pilihan utama wanita, Sivasangari, 25, melangkah ke final dengan kemenangan bergaya 11-3, 11-8, 11-6 ke atas pemain Scotland Georgia Adderley dalam masa hanya 31 minit, diiringi sorakan padu peminat pada pusingan separuh akhir di pusat beli-belah The Curve, Damansara di sini hari ini.

“Saya bermain dengan sangat baik hari ini berbanding dua minggu lepas di China. Saya mempunyai pelan permainan lebih baik, melaksanakannya dengan baik dan saya gembira dengan prestasi saya,” kata Sivasangari yang menewaskan Adderley dalam pertemuan pertama mereka pada suku akhir Terbuka China baru-baru ini.

Pemain nombor sembilan dunia itu kini memburu gelaran keduanya dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim ini selepas memenangi Kejohanan Skuasy Klasik London pada April. Sivasangari bakal berdepan pemain nombor 10 dunia dari Mesir Amina Orfi dalam perlawanan akhir.

Pilihan kedua Amina mara ke akhir selepas memadamkan harapan untuk menyaksikan final sesama pemain Malaysia apabila menewaskan Rachel Arnold 12-10, 11-9, 11-6 dalam pertarungan 45 minit.

Sivasangari yang terlepas gelaran edisi sulung selepas tewas kepada pemain Mesir Nour El Tayeb pada separuh akhir tahun lepas, berhasrat mengubah naratif itu dan berdiri di podium sebagai juara di venue sementara itu esok.

“Amina baru sahaja memasuki kelompok 10 pemain terbaik dunia, jadi saya jangkakan perlawanan yang sengit esok. Saya harap dapat bermain dengan gaya saya sendiri dan keputusan akan menyusul. Anda tidak boleh bermain skuasy sempurna setiap hari, jadi saya akan membuat persediaan yang baik dan cuba tampil lebih baik berbanding hari ini,” kata juara Sukan Asia itu kepada pemberita.

Berdasarkan rekod, Sivasangari dan Amina telah bertemu dua kali sebelum ini. Amina menewaskannya pada Kejohanan Terbuka Squash on Fire Februari tahun lepas tetapi Sivasangari meraih kemenangan dalam pertemuan terakhir mereka pada final Terbuka Hong Kong 2023 pada Disember.

Dalam final lelaki, pemain nombor 14 dunia Eain Yow bakal menghadapi cabaran pemain Mesir yang juga pilihan utama Youssef Soliman.

Sebagai pilihan kedua, Eain Yow mara selepas menewaskan Abhay Singh dari India 11-5, 11-4, 7-11, 11-4 dalam perlawanan separuh akhir selama 49 minit. Sementara itu, Soliman menundukkan rakan senegara, Youssef Ibrahim 11-8, 8-11, 11-9, 8-11, 11-6 dalam perlawanan sengit selama 95 minit.

“Saya bermula dengan baik hari ini tetapi sedikit hilang fokus pada set ketiga dan membuat beberapa kesilapan. Bagaimanapun, saya berjaya pulih dengan cepat. Tekanan lebih tinggi berada di pihaknya (Soliman) sebagai pilihan utama berbanding saya yang bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Dia melalui perlawanan yang panjang hari ini dan bermain di gelanggang kaca adalah sangat mencabar secara fizikal. Saya akan cuba mengambil peluang ini tetapi dia juga sangat cergas, jadi saya tahu dia akan kembali kuat esok,” katanya.

Piala Skuasy Malaysia, kejohanan bertaraf gangsa dalam Jelajah PSA menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$64,000 (kira-kira RM286,000) bagi setiap kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy