AM

Wanita Dikhuatiri Lemas, Motosikal Ditemukan Di Tebing Sungai

08/11/2024 08:32 PM

ALOR SETAR, 8 Nov (Bernama) -- Seorang wanita dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai dan lemas setelah motosikal miliknya ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan, di sini, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata wanita berusia 37 tahun itu tidak datang bekerja dan majikannya memaklumkan perkara itu kepada waris yang cuba menghubungi nombor telefon mangsa, namun gagal. 

"Bagaimanapun, motosikal milik mangsa telah ditemui di tebing sungai pada pukul 9.15 pagi. Bimbang dengan keselamatan mangsa, waris telah membuat laporan pada pukul 10.13 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Langgar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Kota Setar telah ke lokasi kejadian.

"Sehingga pukul 3.45 petang tadi, operasi pencarian mangsa masih dijalankan di lokasi motosikal miliknya dijumpai, namun mangsa masih belum ditemui. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. 

"Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil memberikan keterangan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Langgar SM Ku Fauzi Ku Bakar di talian 011-5503352 atau 04-7747222," katanya. 

Sementara itu, Ketua BBP Jalan Raja Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar mangsa dikhuatiri lemas atau hanyut dan pasukan penyelamat di air (PPDA) Jitra telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pencarian mangsa.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy