PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Pada Paras Tertinggi Dalam Tempoh Dua Tahun

08/11/2024 09:37 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun apabila meningkat melebihi RM5,000 setan metrik, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, tinjauan pasaran kekal positif dengan Indonesia melaksanakan mandat biodiesel yang lebih tinggi tahun depan yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit.

“Sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh kadar pengeluaran yang lemah. Oleh itu, kami menjangkakan harga disokong melebihi RM4,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM5,150 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis kanan FastmarketS Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mencecah paras tertinggi dalam tempoh 30 bulan, disokong oleh permintaan kukuh terhadap biodiesel di tengah-tengah pengeluaran terhad.  

Pada sesi penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM122 kepada RM5,160 setan metrik, Disember 2024 melonjak RM148 kepada RM5,144 setan metrik dan Januari 2025 naik RM149 kepada RM5,101 setan metrik.

Kontrak Februari 2025 meningkat sebanyak RM142 kepada RM5,039 setan metrik, Mac 2025 menokok RM134 kepada RM4,938 setan metrik dan April 2025 naik RM131 kepada RM4,821 setan metrik. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 123,802 lot daripada 104,193 pada Khamis manakala kepentingan terbuka turun kepada 239,911 kontrak daripada 245,610 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Selatan November MSM meningkat sebanyak RM90 kepada RM5,160 setan metrik.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy